Sektor pembinaan diramal terjejas disebabkan sekatan AS ke atas cip AI pusat data - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembinaan diramal terjejas disebabkan sekatan AS ke atas cip AI pusat data - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Julai — Sektor pembinaan diramal terjejas berikutan langkah Amerika Syarikat (AS) menyekat penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) untuk pusat data di Malaysia, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu namun berkata, draf peraturan tersebut dijangka membenarkan firma beribu pejabat di AS dan beberapa negara meneruskan penghantaran tanpa lesen selama beberapa bulan lagi.

 

Tambahnya, walaupun Presiden AS, Donald Trump berhasrat meneruskan rancangan sekatan, keperluan lesen masih termasuk kepada pengecualian tertentu untuk mengelakkan gangguan rantaian bekalan.

 

"Gergasi teknologi AS seperti Google, Microsoft, Oracle, EdgeConneX dan Amazon dijangka mungkin meneruskan pelaburan pusat data yang dirancang di Malaysia," kata RHB Research dalam notanya.

 

Ia juga tidak menolak kemungkinan beberapa bentuk status pengguna akhir (VEU) seperti peraturan penyebaran AI oleh bekas presiden AS Joe Biden, perlu diperoleh oleh syarikat teknologi AS.

 

Langkah tersebut katanya, membolehkan mereka dapat menghantar cip AI dengan lebih bebas ke negara tertentu seperti Malaysia, memandangkan pelaburan terancang besar-besaran berada di negara ini.

 

Bagaimanapun, pemegang status VEU juga mungkin tertakluk kepada keperluan keselamatan yang ketat, seperti tapisan rantaian bekalan termasuk pemeriksaan latar belakang kakitangan dan transit.

 

"Negara kategori mesra AS ini mungkin merupakan negara sebelum ini disenaraikan di bawah Tahap 1 peraturan penyebaran AI yang pernah dilaksanakan pentadbiran AS terdahulu," kata RHB Research.

 

Ini termasuk Britain, Belanda, Australia dan Jepun manakala para pemain utama pusat data bukan AS dikenal pasti sedang berkembang pesat di Malaysia antaranya Yondr, Vantage, AirTrunk dan NextDC.

 

Ia menambah, ada beberapa tender pusat data dengan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh Julai hingga September 2025 seperti di Elmina Business Park, dan Eco Business Park V di Puncak Alam.

 

Pada masa sama, risiko penurunan utama kepada penarafan sektor pembinaan termasuk kelembapan yang tidak dijangka dalam pembinaan pusat data di Malaysia daripada pemaju yang berpangkalan di AS.

 

"Berdasarkan anggaran kami, mungkin terdapat potensi nilai pembinaan yang bernilai RM7.4 bilion daripada lima tender pusat data," kata RHB Research sambil mengekalkan saranan 'overweight'.

 

Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Binastra Corporation Berhad merupakan pilihan saham utama firma penyelidikan tersebut dalam sektor pembinaan. - DagangNews.com