Sektor minyak sawit berdepan kekurangan buruh, kadar penanaman semula rendah — BMI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor minyak sawit berdepan kekurangan buruh, kadar penanaman semula rendah — BMI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Julai — Masalah kekurangan buruh secara berterusan dalam industri minyak sawit Malaysia dijangka terus berlanjutan lagi dalam tempoh jangka pendek dan sederhana, menurut BMI.

 

Firma penyelidikan di bawah Fitch Solutions itu berkata, keadaan tersebut disebabkan pergantungan besar sektor berkenaan kepada pekerja asing yang menyumbang 80 peratus daripada tenaga kerja.

 

Kekurangan itu katanya, diunjur mengekang potensi pertumbuhan pengeluaran domestik selain tekanan peraturan yang lebih ketat mengenai buruh asing, gaji rendah dan kurang penyertaan warga tempatan.

 

"Situasi ini telah menyebabkan banyak syarikat perladangan bergelut untuk kerja penuaian tanaman, yang secara langsung memberi kesan kepada penurunan hasil mereka," kata BMI dalam nota kajiannya.

 

Ia meramalkan penurunan 1.6 peratus tahun ke tahun (yoy) dalam pengeluaran minyak sawit untuk musim 2024/25, diikuti pemulihan 0.5 peratus yang sederhana pada 2025/26, dengan syarat faktor cuaca baik.

 

Jika berlaku, ini akan membawa pengeluaran kira-kira 19.5 juta tan, manakala penggunaan domestik pula dijangka menurun dua peratus pada 2025/26, dengan permintaan industri yang semakin perlahan.

 

BMI menambah, perkembangan lemah itu disebabkan kemajuan yang agak ketinggalan ke arah sasaran biofuel di seluruh negara dan peraturan lebih ketat mengenai perdagangan minyak masak terpakai.

 

"Kami juga menekankan bahawa kebanyakan tanah Malaysia telah diperuntukkan kepada ladang sedia ada atau pembangunan bandar, meninggalkan skop kecil untuk perluasan kawasan tanaman baharu," katanya.

 

Susulan itu jelas firma berkenaan, sebarang pertumbuhan pengeluaran akan bergantung pada peningkatan hasil tuaian, terutamanya melalui usaha penanaman semula pokok kepala sawit yang sudah berusia tua.

 

Bagaimanapun kata BMI, setakat ini hanya dua peratus daripada jumlah kawasan minyak sawit Malaysia telah ditanam semula pada 2024, meleset secara ketara berbanding sasaran tahunan antara 4% dab 5%.

 

Harga minyak sawit yang tinggi sejak 2021 juga tambah fir, menyebabkan banyak penanam masih lagi mengekalkan pokok yang tua dan kurang produktif untuk memaksimumkan keuntungan jangka pendek.

 

"Walaupun harga diramal berkurangan sepanjang 2025, BMI menjangkakan arah aliran pengekalan pokok akan berterusan di tengah-tengah paras harga yang masih tinggi," katanya. - DagangNews.com