KUALA LUMPUR 3 Feb - Prospek sektor minyak dan gas kekal cerah pada 2025 walaupun diramal menghadapi cabaran seperti naik turun harga mnyak mentah tidak menentu dan tegangan geopolitik yang dijangka meningkat di Asia Barat.
MIDF Research berkata, harga minyak mentah Brent dijangka pada paras antara AS$70 dan AS$80 setong dalam jangka masa panjang.
Faktor-faktor ini akan terus mempengaruhi dinamik pasaran, walaupun harga gas asli cecair (LNG) dijangka kekal tinggi berikutan permintaan yang lebih tinggi terutamanya dari Qatar dan Amerika Syarikat (AS).
Petroliam Nasional Bhd (Petronas), sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia, terus menumpukan kepada pengurangan pelepasan karbon melalui teknologi termaju dan perkongsian strategik, terutamanya dalam penangkapan dan penyimpanan karbon, hidrogen dan biofuel.
"Bahagian huluan kekal teguh, dengan pengeluaran hidrokarbon Malaysia berada pada 1.7 juta tong bersamaan minyak sehari (mboepd) dan dijangka mencapai dua mboepd menjelang 2027.
"Walau bagaimanapun, sektor ini menghadapi risiko daripada keadaan pasaran yang tidak menentu, peningkatan kos projek dan kekurangan tenaga pekerja mahir.
"Kami meramalkan pembangunan ketara dalam sektor huluan, dengan lebih 400 telaga dijangka digerudi dan 39 projek dirancang untuk dilaksanakan menjelang 2027.
"Sementara itu, sektor hiliran memberi tumpuan kepada produk hijau, memanfaatkan permintaan kedua-dua bahan api konvensional dan bio, termasuk pelancaran kilang penapisan akan datang pada 2028," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Walaupun industri petrokimia menghadapi cabaran, terutamanya dari segi lebihan bekalan dan permintaan rendah, segmen hilirannya pula optimis tentang keupayaannya untuk memanfaatkan rumusan bahan api mampan.
Sementara itu, tenaga boleh diperbaharui (RE), yang diterajui oleh Gentari di bawah Petronas, terus mendapat momentum, dengan syarikat itu memperoleh 8GW dalam kapasiti tenaga boleh diperbaharui di seluruh dunia.
"Walaupun menghadapi cabaran yang berkaitan dengan pengurusan kos dan ketidaktentuan kawal selia, kami kekal positif tentang prospek Gentari dalam aplikasi hidrogen dan penggunaan bahan api yang bersih.
"Oleh itu kami menetapkan saranan "beli" ke atas saham Deleum Bhd (harga sasaran (TP): RM1.62) dan Dialog Group Bhd (TP: RM2.72), yang berada pada kedudukan baik bagi memanfaatkan daripada lonjakan dijangkakan dalam aktiviti huluan dan usaha penyahkarbonan yang berterusan," katanya. - DagangNews.com








