KUALA LUMPUR 31 Dis — Sektor minyak dan gas (O&G) dijangka memasuki fasa yang lebih stabil apabila risiko harga dilihat semakin terhad, manakala aktiviti pelaburan mula pulih secara berperingkat, kata BIMB securities.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun kebimbangan lebihan bekalan dalam pasaran minyak mentah masih wujud, risiko penurunan harga kekal terkawal berikutan pengumpulan inventori yang lebih perlahan daripada jangkaan.
BIMB Securities mengunjurkan harga purata minyak mentah Brent pada paras AS$66 setong pada 2026, berasaskan pandangan bahawa sentimen negatif telah sebahagian besarnya tercermin dalam harga semasa.
Menurutnya lagi, sentimen pasaran kekal berhati-hati susulan unjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang menjangkakan peningkatan inventori minyak sebanyak 2.4 juta tong sehari (bpd) pada 2025 dan 1.8 juta bpd pada 2026.
Namun, peningkatan inventori setakat tahun ini adalah jauh lebih rendah, iaitu sekitar 1.3 juta bpd.
Sebagai perbandingan, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) mengambil pendekatan lebih sederhana dengan meramalkan peningkatan inventori sebanyak 1.8 juta bpd pada 2025 sebelum menyusut dengan ketara kepada hanya 0.3 juta bpd pada 2026.
Sehubungan itu, BIMB Securities mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor O&G, dengan memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai keterlihatan pendapatan jangka panjang, potensi pertumbuhan mampan serta pulangan dividen yang menarik.
Antara pilihan utama firma penyelidikan itu ialah Malaysia International Shipping Corp Bhd (MISC) dengan harga sasaran (TP) RM9.80, diikuti Hibiscus Petroleum Bhd (TP: RM2.10) dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) (TP: 94 sen).
BIMB Research berkata prospek pertumbuhan MISC kekal positif, disokong oleh permintaan kukuh terhadap unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), khususnya di pasaran sempadan seperti Brazil, Guyana, Suriname dan Angola.
Bagi Hibiscus Petroleum, firma itu menekankan potensi peningkatan berasaskan pengeluaran, memandangkan syarikat terus melaksanakan strategi pertumbuhan bagi meningkatkan pengeluaran kepada 35,000 hingga 50,000 tong setara minyak sehari (boepd) berbanding sekitar 28,000 boepd ketika ini, sekali gus menyokong momentum pendapatan yang didorong oleh volum.
Sementara itu, MMHE dijangka mencatat prestasi kewangan yang lebih kukuh dalam beberapa suku akan datang, disokong oleh penambahbaikan margin apabila projek ladang angin luar pesisir voltan tinggi arus terus (HVDC) yang tertangguh lama mula berjalan.
Selain itu, BIMB Securities turut menyenaraikan Dialog Group Bhd (TP: RM2.20), Velesto Energy Bhd (TP: 34 sen), Vantris Energy Bhd (TP: 72 sen) dan T7 Global Bhd (TP: 40 sen) sebagai saham lain dengan penarafan ‘beli’ di bawah liputannya. - DagangNews.com








