KUALA LUMPUR 17 Okt – Sektor pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) di Malaysia telah berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM1 bilion dalam projek pembinaan kapal serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dari tahun 2021 hingga pertengahan 2025.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pelaburan ini menyokong pelbagai aktiviti berkaitan seperti reka bentuk, pembinaan, pembaikan, penyelenggaraan, pengubahsuaian dan penaiktarafan kapal, termasuk pembuatan peralatan marin.
“Prestasi eksport sektor ini turut menunjukkan pertumbuhan positif dengan jumlah lebihan dagangan mencecah RM3.37 bilion bagi tempoh dari 2021 hingga kini,” kata MITI dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) bertanya soalan mengenai potensi penglibatan industri bekalan berasaskan maritim antarabangsa, yang dijangka mendorong nilai pasaran global kepada AS$195 bilion menjelang 2030.
Menurut MITI, ekosistem domestik SBSR semakin kukuh dengan Malaysia kini mempunyai 110 limbungan kapal berdaftar di seluruh negara, iaitu 38 di Semenanjung Malaysia menakalan 72 di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), terdapat sekurang-kurangnya 40 pengeluar peralatan marin tempatan yang menyokong rantaian bekalan domestik sektor SBSR.
Bagi menarik pelaburan tambahan dalam infrastruktur limbungan kapal, kerajaan menyediakan pelbagai insentif cukai, termasuk pengecualian Cukai Pendapatan (Pioneer Status) sebanyak 70% daripada pendapatan bercukai selama lima tahun kepada syarikat yang layak.
Insentif lain ialah Elaun Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) iaitu 60% elaun cukai ke atas perbelanjaan modal layak sepanjang lima tahun, tertakluk kepada syarat kelayakan tertentu.
Elaun Modal Automasi iaitu galakan cukai 200% atau maksimum RM10 juta bagi perbelanjaan ke atas mesin, peralatan dan perisian yang mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.
Menurut MITI, syarikat SBSR yang memiliki Lesen Pembuatan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 kini layak mendapat pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) khusus bagi sektor MRO maritim, yang telah dikuatkuasakan sejak 2024. - DagangNews.com








