Sektor bank disaran memanfaatkan data alternatif bagi tingkatkan rangkuman kewangan digital - pakar fintech | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor bank disaran memanfaatkan data alternatif bagi tingkatkan rangkuman kewangan digital - pakar fintech

Gambar hiasan dari Freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Pakar fintech dan penganalisis data berpendapat sektor bank masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan terutamanya memanfaatkan data alternatif bagi mempertingkatkan rangkuman kewangan digital. 

 

Ketua Industri Perkhidmatan Kewangan (FSI) Amazon Web Services (AWS) Malaysia dan Filipina, Taruni Ramamurthi, berkata, data alternatif membolehkan bank membentuk produk yang dibina khas untuk pengguna merentasi kelas umur,” katanya semasa sesi panel “In Conversations Series” : Building A Future Ready Bank anjuran Bank Islam Malaysia Bhd pada Khamis. 

 

Beliau berkata, pangkalan data sahaja tidak mencukupi, nilainya terletak kepada pemprosesan data dan cara ia digunakan.

 

“Data adalah minyak baharu kerana ia membantu perniagaan memacu kecekapan, tetapi seperti minyak mentah, nilainya hanya terletak setelah ia diproses.

 

"Jika bank hanya menyimpan data tanpa memprosesnya, ia mempunyai sedikit nilai.

 

"Memperluaskan liputan data dan menggunakannya dengan berkesan adalah penting bagi meningkatkan operasi bank,” katanya.

 

Rakan kongsi Deloitte dan Peneraju kecerdasan buatan (AI) Asia Tenggara, Gautam Gorki, berkata, penerimaan digital mesti dikaji dengan teliti supaya bank mengelak sebarang pengecualian demografi tertentu.

 

Beliau mencadangkan program celik kewangan dan pengawal selia merentasi pelbagai saluran perbankan digital dan tradisional boleh membantu mengurangkan isu tersebut.

 

“Pengawal selia seperti Bank Negara dan Monetary Authority of Singapore memainkan peranan penting dalam meningkatkan celik digital dalam operasi bank tempatan.

 

"Apabila bank pusat mengetuai inisiatif sedemikian, mereka membawa kesan yang berbeza kepada masyarakat," katanya.

 

BIMB
Barisan pakar fintech dan penganalisis data di sesi panel “In Conversations Series” : Building A Future Ready Bank anjuran Bank Islam Malaysia Bhd pada Khamis. 

 

Gautam juga berkata sekatan Covid-19 merupakan pemangkin dalam mempercepatkan penggunaan digital, memaksa kedua-dua perniagaan dan pengguna menyesuaikan diri dengan pantas kepada saluran digital.

 

Pakar lain di panel itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas MesinKira, Syed Omar Almohdzar dan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Kumpulan Bank Islam, Anthony Tai Yu Kun.

 

Sesi itu dikendalikan oleh Ketua Pengarang Fintech News Malaysia, Vincent Fong.

 

Semasa majlis yang sama, Bank Islam Malaysia Bhd turut menandatangani kerjasama dengan Reldyn Tech Sdn Bhd untuk menubuhkan entiti kewangan teknologi yang berpandukan rumusan fintech, Finodyn Sdn Bhd.- DagangNews.com