Segmen REIT runcit, hospitaliti terkesan dengan kenaikan SST 8% terhadap ruang sewa komersial - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen REIT runcit, hospitaliti terkesan dengan kenaikan SST 8% terhadap ruang sewa komersial - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Okt - Perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 8% ke atas sewaan ruang komersial mulai 1 Julai 2025 memberikan kesan berbeza terhadap segmen amanah pelaburan hartanah (REIT) di Malaysia, kata Kenanga Research.

 

Katanya, walaupun cukai baharu itu meningkatkan kos operasi penyewa, impaknya berbeza mengikut jenis hartanah dengan segmen pejabat dan industri dijangka lebih terlindung berbanding segmen runcit dan hospitaliti.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dua faktor utama menjadikan segmen itu lebih stabil kerana penyewa pejabat yang terdiri daripada syarikat multinasional (MNC) yang lazimnya mempunyai keupayaan kewangan lebih kukuh, dengan nisbah sewaan terhadap hasil yang lebih rendah, membolehkan mereka menyerap peningkatan kos tanpa menjejaskan operasi.

 

Sementara itu, pajakan jangka panjang dalam sektor industri, yang lazimnya antara lima hingga 10 tahun menetapkan kadar kenaikan sewa tetap, menjadikan kesannya minimum dalam jangka pendek.

 

“Segmen industri kekal kalis terhadap perubahan mendadak kerana struktur sewa mereka telah dikunci lebih awal, manakala MNC masih mampu menyerap kenaikan kos kecil ini,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research berkata, segmen runcit dan hospitaliti dilihat lebih sensitif terhadap cukai baharu ini, kerana kebergantungan kepada penyewa yang lebih mudah terkesan oleh peningkatan kos.

 

Secara purata, kos sewaan menyumbang sekitar 15% daripada hasil penyewa runcit, dan pelaksanaan SST 8% akan menaikkan komponen itu kepada 16.2%.

 

"Jika penyewa tidak dapat memindahkan kos ini kepada pengguna melalui kenaikan harga jualan, REIT berkemungkinan berdepan kesukaran untuk menaikkan kadar sewa baharu," katanya.

 

Katanya, dalam segmen hospitaliti pula, prestasi 1H25 kekal lemah berikutan bulan Ramadan dan pengurangan aktiviti MICE, selain kecenderungan pelancong memilih hotel lebih murah susulan ketidaktentuan global. 

 

Bagaimanapun, peningkatan peruntukan pelancongan dalam Belanjawan 2026 serta unjuran 27.7 juta ketibaan pelancong (+15% dari 2024) dijangka meredakan kesan negatif jangka pendek.

 

"Kami mengekalkan penarafan "neutral" terhadap sektor REIT selepas Bank Negara Malaysia menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Julai 2025," katanya. - DagangNews.com