KUALA LUMPUR 21 April - Kumpulan Weststar menyasarkan penguasaan lebih besar dalam sektor pertahanan di Malaysia dengan memanfaatkan penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026, ketika segmen itu kini menyumbang kira-kira 25% kepada keseluruhan perniagaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Defence Industries Sdn. Bhd., cabang pertahanan Weststar, Datuk Arsad Abd Salam berkata, dalam kalangan negara ASEAN, kumpulan itu setakat ini hanya mengeksport kenderaan ke Timor-Leste dan Brunei.
Weststar, sebuah konglomerat yang terkenal menerusi peranan dominan dalam pengangkutan helikopter luar pesisir, automotif dan industri pertahanan, kini melaksanakan langkah strategik untuk meningkatkan keterlihatan syarikat seiring peneraju industri global.
Beliau berkata, falsafah operasi semasa syarikat adalah mengurangkan kebergantungan kepada penyelesaian dari luar negara menerusi penglibatan aktif dalam program pemindahan teknologi dan penyetempatan industri.
Menurutnya, pendekatan itu memastikan pemain industri tempatan memperoleh kepakaran dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) berteknologi tinggi.
“Kami tidak mahu sekadar menjadi ejen kepada syarikat lain. Matlamat kami adalah menjadi rakan industri yang menyumbang kepada pembangunan ekosistem pertahanan negara,” katanya kepada Bernama di sela-sela pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 pada Isnin.

Tumpuan kepada UAV dan peperangan moden
Mengulas perubahan landskap peperangan moden, Ketua Pegawai Eksekutif Weststar Aviation Services Sdn. Bhd., Datuk Wan Hasmar Azim Wan Hassan berkata, arena pertahanan kini banyak didominasi kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), khususnya susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Beliau berkata UAV kini menjadi elemen utama dalam strategi peperangan, manakala agensi ketenteraan sendiri sedang menerajui pembangunan doktrin serta kepakaran baharu yang diperlukan bagi era pertahanan baharu itu, selari dengan kemunculan teknologi berkenaan.
“Kita perlu memahami keperluan mereka. Untuk memenuhinya, kami meletakkan kedudukan syarikat secara strategik. Sebab itu Weststar memiliki UAV, kenderaan darat dan helikopter,” katanya.
Arsad dan Wan Hasmar Azim turut menegaskan model perniagaan kumpulan itu tertumpu kepada pembangunan keupayaan jangka panjang, bukannya keuntungan komersial jangka pendek. - Bernama








