Segmen pembalakan Ta Ann dijangka kembali positif pada FY26 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen pembalakan Ta Ann dijangka kembali positif pada FY26 - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Julai — Ta Ann Holdings Berhad dijangka mencatatkan pemulihan dalam segmen pembalakan setelah merekodkan kerugian selama empat tahun berturut-turut, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu diramal mampu menyumbang kepada peningkatan hasil perolehan kumpulan berkenaan sebanyak lapan peratus pada tahun kewangan 2026.

 

Tambahnya, saham syarikat perladangan itu ketika ini turut didagangkan pada 9.6 kali ganda unjuran pendapatan FY26, iaitu lebih tinggi berbanding rakan setaranya dengan julat enam hingga 11 kali.

 

"Kami masih menjangkakan prospek positif disumbangkan menerusi segmen pembalakan yang berpotensi berada pada kedudukan 'pulang modal' pada FY25," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya.

 

Ta Ann sebelum itu melaporkan bahagian berkenaan mencatatkan kerugian sebanyak RM5.2 juta pada suku pertama 2025 yang menyebabkan hasil keseluruhan kumpulan tersebut lemah kepada RM40 juta.

 

Pendapatan pembalakannya merosot 52 peratus kepada RM28.6 juta apabila jualan susut 53 peratus kepada RM7.5 juta berikutan cuaca buruk yang telah teruk menjejaskan aktiviti segmen tersebut.

 

Menjelaskan lanjut, RHB Research menambah, ia menjangkakan 2026 menjadi tahun yang lebih seimbang pada asasnya, dengan harga minyak sawit mentah (MSM) diramal lebih rendah tahun ke tahun (YoY).

 

"Risiko geopolitik juga akan memberi lebih banyak turun naik perniagaan MSM kepada Ta Ann sendiri selepas harga yang sederhana kepada paras terendah RM3,700 setiap tan pada Mei 2025," katanya.

 

Penurunan itu katanya, didorong oleh geopolitik berikutan kebimbangan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), perang di Asia Barat dan harga minyak mentah antarabangsa yang merosot seketika.

 

Pada asasnya kata RHB Research, penawaran dan permintaan global mungkin lebih seimbang pada 2026, apabila bekalan bertambah baik, dengan permintaan meningkat setelah harga relatif lebih menarik.

 

Berdasarkan situasi semasa itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'neutral' ke atas kumpulan tersebut namun harga sasaran diramal susut kepada RM3.60 daripada RM3.65. - DagangNews.com