Segmen jalur lebar runcit Time kini penyumbang utama pendapatan - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen jalur lebar runcit Time kini penyumbang utama pendapatan - HLIB

Gambar/FB Time Internet
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jun - Segmen jalur lebar runcit kini menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan Time Dotcom Bhd, iaitu 38 peratus daripada jumlah keseluruhan. 

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pendapatan itu disumbangkan oleh perluasan rangkaian gentian optik Time ke kira-kira 1.77 juta premis menjelang akhir 2024, iaitu bersamaan 20 peratus daripada liputan di seluruh negara.

 

"Syarikat itu juga mempunyai 479,000 pelanggan aktif, dengan purata pendapatan bulanan sebanyak RM115 setiap pengguna," katanya dalam satu nota kajian. 

 

HLIB berkata, pencapaian itu meletakkan Time di tempat ketiga dalam pasaran dengan 10 peratus pegangan.

 

"Keupayaan Time menarik pelanggan baharu setanding atau lebih baik daripada pesaing walaupun liputannya lebih kecil. 

 

"Ia menunjukkan kekuatan jenama runcitnya," jelas HLIB. 

 

Time merancang untuk memperluas sambungan internet ke 200,000 hingga 300,000 premis baharu setiap tahun. 

 

Buat masa ini, separuh daripada peluasan tersebut melibatkan kediaman persendirian. 

 

Strategi berkenaan dijangka membantu Time menarik lebih ramai pelanggan dan terus berkembang lebih cepat berbanding pesaing.

 

HLIB juga berkata, sambungan internet yang stabil sangat penting untuk pelanggan perniagaan.

 

"Ini menunjukkan Time masih ada ruang besar untuk berkembang. Baru-baru ini, syarikat berjaya mendapat kontrak kerajaan untuk sambungan internet ke universiti awam.

 

"Ia membuktikan liputan rangkaiannya semakin setanding dengan Telekom Malaysia," jelasnya.

 

Time juga baru melancarkan segmen tenaga solar, tetapi buat masa ini ia hanya menyumbang kurang daripada satu peratus kepada pendapatan. 

 

Segmen itu dijangka menjadi sumber pendapatan tetap seperti syarikat utiliti pada masa depan.

 

Pihak pengurusan menyasarkan pasaran sedia ada terdiri daripada kira-kira 300,000 isi rumah yang membayar bil elektrik lebih RM500 sebulan. 

 

Jumlah tersebut boleh meningkat kepada sejuta rumah jika kerajaan mengurangkan subsidi elektrik.

 

HLIB juga mengekalkan penilaian 'pegang' terhadap saham Time dengan harga sasaran RM4.98.

 

"Kami yakin dengan Time kerana segmen runcitnya semakin berkembang hasil peluasan rangkaian dan produk berkualiti. 

 

"Segmen borong dan perusahaan juga mendapat manfaat daripada permintaan terhadap pusat data, awan dan perkhidmatan IT luaran," ujarnya. - DagangNews.com