SEDCE jalin kerjasama dengan Sulzer teroka loji perintis bahan api penerbangan mampan di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SEDCE jalin kerjasama dengan Sulzer teroka loji perintis bahan api penerbangan mampan di Sarawak

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Julai — Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) menerusi anak syarikatnya, SEDC Energy (SEDCE) bekerjasama dengan Sulzer meneroka loji perintis bahan api penerbangan mampan (SAF).


Usaha terbaharu agensi kerajaan negeri itu dengan pembekal teknologi global tersebut melibatkan pembinaan loji modular modular bahan api boleh diperbaharui 15KTA menggunakan teknologi Bioflux. 


SEDCE diberi tanggungjawab untuk membangunkan fasiliti perintis SAF berskala potensi untuk dapat memenuhi trend permintaan pengeluaran bahan api berkenaan yang semakin meningkat di rantau ASEAN.


“Inisiatif ini mencerminkan hasrat Sarawak menyumbang penyahkarbonan penerbangan global, sambil membina keupayaan dalam pembuatan bahan api bersih,” kata Sulzer dalam satu kenyataan bersama.


SEDCE juga bekerjasama dengan pembekal biofuel terkemuka global, Apeiron Bioenergy, yang akan memanfaatkan operasinya sebagai pengumpul minyak masak terpakai (UCO) terbesar di benua Asia.


Pemeteraian memorandum persefahaman pelbagai pihak itu turut menandakan kerjasama strategik Sarawak meneroka potensi pembangunkan ekosistem koleksi UCO yang mampan di rantau Asia Tenggara.


Inisiatif ini dijangka menyokong cita-cita kerajaan negeri dalam pembangunan ekonomi kitaran dan tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan menukar sisa kepada SAF yang memiliki permintaan besar.


"Apeiron Bioenergy dan SEDC akan membentuk sistem logistik, penyimpanan dan akses UCO, serta memanfaatkan pengalamannya selama 17 tahun dalam pasaran biofuel," kata kenyataan itu.


Sejak 2016, Apeiron Bioenergy yang berpusat di Singapura telah membekalkan lebih sejuta tan UCO untuk pengeluaran biofuel dengan kehadiran mereka turut menjangkau kira-kira 10 buah negara.


Inisiatif berkenaan turut menerima sokongan daripada Oiltek Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Oiltek International Ltd, yang disenaraikan di Papan Utama Singapore Exchange Securities Trading Ltd.


Menerusi kerjasama dengan pembekal teknologi SAF ternama iaitu Sulzer, syarikat tersebut yakin dengan keupayaan untuk menjadikan kilang SAF sebagai usaha kejayaan utama di Sarawak sendiri.


Ditubuhkan pada 1980, Oiltek berkembang menjadi peneraju teknologi proses bersepadu global yang mantap dan dan penyedia rumusan RE dalam industri minyak sayuran, dengan operasi di 38 negara.


Selain itu, ia juga memiliki rekod prestasi dalam sektor RE menerusi lebih 16 loji biodiesel di seluruh ASEAN menggunakan pelbagai bahan mentah dan sistem pemangkin. - DagangNews.com