KUALA LUMPUR 19 Jun - Pembekal tenaga mampan global, RAW Energy, melantik SEDC Energy (SEDCE) sebagai rakan eksklusif bagi mempromosikan dan mengedar pelet Hybrid Tropical Grass (HTG) di Sarawak.
Pelet HTG adalah sejenis bahan bakar biojisim mampat yang diperbuat daripada rumput tropika hibrid.
Ia akan dibekalkan kepada loji jana kuasa dan pengguna lain yang memerlukan tenaga bersih yang boleh ditambah mengikut keperluan.
Kerjasama tersebut juga akan melibatkan masyarakat tempatan dalam usaha kelestarian dengan menanam rumput HTG sebagai bahan mentah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAW Energy, Ramsay Wilson berkata, kerjasama dengan SEDCE bukan sekadar usaha perniagaan, tetapi permulaan kepada era baharu penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.
"Penggunaan teknologi biojisim terkini oleh SEDCE memberi contoh kepada dunia bagaimana untuk mengimbangi pembangunan industri dengan penjagaan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pelet HTG yang dihasilkan RAW Energy mampu mengubah standard tenaga biojisim di peringkat antarabangsa kerana ia mempunyai kitaran karbon yang cepat dan tenaga haba yang lebih tinggi berbanding pelet kayu biasa.
"Tenaga mampan seperti HTG boleh menggantikan arang batu dan pelet kayu kerana ia lebih mesra alam, cekap dan boleh digunakan secara besar-besaran.
"Ia juga menyokong ekonomi kitaran di Sarawak dengan menukar hasil pertanian kepada sumber tenaga yang bernilai," jelasnya.
HTG adalah gabungan steril antara rumput Napier dan Pearl Millet, yang dibawa masuk ke Malaysia pada tahun 2014 oleh pengasas RAW Energy.
Rumput itu ditanam secara besar-besaran di Bintulu di atas tanah yang tidak sesuai untuk pertanian.
SEDCE adalah anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robert Hardin berkata, kerjasama berkenaan menjadi langkah penting dalam usaha Sarawak mencapai sasaran sifar bersih karbon menjelang 2050.
"Rumput HTG tidak menjejaskan sumber makanan dan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB (UNSDG 15)," ujarnya.
Jelas beliau, penanaman HTG bersama RAW Energy juga akan diperkenalkan secara berperingkat kepada masyarakat luar bandar. - DagangNews.com








