KUALA LUMPUR 20 Mac (Bernama) - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima sejumlah 8,501 kes pada 2024, terdiri daripada 3,910 aduan dan 4,591 pertanyaan, mewakili peningkatan 60 peratus daripada 2023 sebanyak 5,318 kes.
Dalam Laporan Tahunan 2024, SC berkata peningkatan itu didorong terutamanya oleh aktiviti tidak berlesen dan penipuan, yang masing-masing menyumbang 51.4 peratus dan 62.2 peratus, daripada jumlah aduan dan pertanyaan yang diterima.
"Aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen telah meningkat secara konsisten, dengan peningkatan 337 peratus dari 2019 hingga 2024," katanya.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu menyatakan bahawa walaupun peningkatan keseluruhan kelihatan membimbangkan, adalah menggalakkan lebih ramai orang melaporkan penipuan dan aktiviti tidak berlesen tanpa menjadi mangsa sebelum mendekati SC.
"Melalui aduan dan pertanyaan yang diterima, SC mendapat gambaran tentang trend semasa dan modus operandi yang muncul. Ini seterusnya membolehkan SC mengambil campur tangan yang diperlukan dengan pantas untuk mengekang aktiviti haram dan mengelakkan lebih ramai orang daripada menjadi mangsa," kata SC.
Sementara itu, sehingga 31 Dis 2024, terdapat 62 kes siasatan aktif, menurut suruhanjaya itu.
SC menyatakan bahawa, selaras dengan mandatnya untuk melindungi pelabur, ia terus memperuntukkan sumber yang besar pada 2024 untuk menyiasat kes yang melibatkan penipuan sekuriti, salah laku korporat, aktiviti tidak berlesen, dan pelanggaran pendedahan, yang membentuk dua pertiga daripada kes siasatannya.
“Pada 2024, pegawai penyiasat SC merekodkan kenyataan daripada 373 individu, dengan lebih separuh diperoleh daripada pelabur/pemegang akaun, profesional seperti jurubank pelaburan, juruaudit dan peguam, serta pekerja, pengarah dan pengurusan kanan syarikat tersenarai awam.
"Ini mencerminkan penyiasatan aktif SC yang menyasarkan penipuan sekuriti dan kesalahan salah laku korporat," tambahnya.
Selain itu, SC juga menjalankan beberapa siri serbuan di 14 lokasi di seluruh negara untuk mengumpul bukti dokumentasi bagi siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut SC, operasi ini telah mendapat kerjasama yang besar daripada individu dan syarikat terbabit. - Bernama








