Sebanyak 1,119 projek penyelidikan 5 universiti awam Malaysia libatkan dana RM148.04 juta 'kurang memuaskan' - Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sebanyak 1,119 projek penyelidikan 5 universiti awam Malaysia libatkan dana RM148.04 juta 'kurang memuaskan' - Laporan Ketua Audit Negara

Gambar Saung Digital/Unsplash

KUALA LUMPUR 25 Feb - Sebanyak 1,119 projek universiti di lima institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia mencatat status 'kurang memuaskan' pada tahun 2023, dengan kos keseluruhan mencecah RM148.04 juta.

 

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatatkan jumlah projek 'tidak memuaskan' yang tertinggi, selain 151 projek dikategorikan sebagai 'bermasalah' yang menelan kos RM23.69 juta.

 

"Empat lagi universiti penyelidikan di Malaysia yang terlibat adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

 

 

"Secara keseluruhan, lima universiti ini menerima geran penyelidikan asas berjumlah RM285.44 juta," jelas laporan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 bagi isu Pengurusan Dana Penyelidikan Fundamental.

 

Semua projek itu melibatkan Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) iaitu geran terbesar yang diberikan oleh kementerian kepada universiti tempatan, dengan tujuan untuk meningkatkan kecemerlangan penyelidikan di Malaysia. 

 

Ia bertujuan menghasilkan teori, konsep dan idea-idea baharu yang berpotensi untuk diterjemahkan kepada penyelidikan yang boleh diterapkan dalam amalan atau digunakan secara praktikal.

 

Laporan itu mendedahkan, hanya 236 projek menunjukkan kemajuan yang 'baik' dan 571 projek lagi mempunyai status 'memuaskan' daripada 2,077 projek yang menerima geran berkenaan.

 

Projek yang lewat daripada jadual atau memerlukan pemantauan lebih rapi dikategorikan sebagai 'tidak memuaskan', manakala projek 'bermasalah' ialah kajian yang gagal mencapai sasaran prestasi atau kewangan yang ditetapkan dan dicadangkan untuk dihentikan selepas dua amaran.

 

UTM mencatatkan 263 projek 'tidak memuaskan', diikuti oleh USM dengan 261 projek, UM dengan 145 projek dan UPM dengan 111 projek.

 

Justeru, pihak audit mengesyorkan Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti penyelidikan terlibat meningkatkan pemantauan secara berkala terhadap prestasi pelaksanaan projek supaya ia dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

 

Laporan turut mencadangkan agar kementerian meneliti permohonan daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dari segi kebolehlaksanaan projek penyelidikan bagi mengelakkan ia terbengkalai dan dihentikan.

 

"Kementerian juga disaran mewujudkan polisi yang jelas mengenai status peruntukan baki untuk projek penyelidikan yang telah diselesaikan bagi memastikan dana tersebut dapat digunakan sepenuhnya oleh universiti penyelidikan," tambah laporan itu. - DagangNews.com