SDS Group diramal catat perkembangan pendapatan didorong peningkatan aktiviti rentas sempadan di Johor - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SDS Group diramal catat perkembangan pendapatan didorong peningkatan aktiviti rentas sempadan di Johor - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - Syarikat bakeri SDS Group Bhd diramal mencatatkan perkembangan pendapatan didorong peningkatan aktiviti rentas sempadan dan kemasukan warga Singapura serta warga asing lain ke Johor, kata Mayabank Investment Bank (Maybank IB).

 

Katanya, kumpulan itu memperoleh lebih daripada 40% pendapatannya dari Johor dan 6% dari Singapura.  

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pendapatan kumpulan sangat memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) empat tahun sebanyak 51% daripada FY20 hingga FY24.

 

"Margin keuntungan operasi kumpulan meningkat daripada 6% pada FY20 kepada 19% pada FY24, manakala margin keuntungan bersihnya bertambah baik daripada hanya 2% pada FY20 kepada 10% pada FY24.

 

"Selain pertumbuhan pesat dalam pendapatan dan pengembangan dalam margin, pulangan ke atas ekuiti (ROE) kumpulan itu meningkat daripada 6.3% pada FY20 kepada 28.4% pada FY24. 

 

"SDS berada dalam kedudukan tunai bersih sebanyak RM11.5 juta pada akhir September 2024," katanya dalam atu nota kajian.

 

Maybank IB berkata, perniagaan teras SDS Group terdiri daripada saluran borong iaitu pembuatan dan pengedaran produk bakeri dan saluran runcit iaitu operasi kedai makanan dan minuman (F&B).

 

Katanya, walaupun berpangkalan di Johor, kumpulan itu berada di laluan pengembangan di seluruh Semenanjung Malaysia yang dilihat masih belum diterokai sepenuhnya.

 

"Pada Ogos 2024, kumpulan itu meningkatkan saiz armada penghantarannya kepada 350 berbanding 300 bagi mengembangkan rangkaian pengedarannya di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

"Bagi saluran runcitnya, SDS Group mempunyai 42 cawangan pada masa ini dengan 10 daripadanya terletak di luar Johor. Kumpulan ini biasanya membuka kira-kira tiga ke lima  cawangan baharu dalam masa setahun," katanya.

 

Firma penyelidikan itu tidak menetapkan sebarang saranan tetapi memberikan harga sasaran (TP) RM1.23 sesaham. - DagangNews.com