Scanwolf menang tender pembangunan 2 blok komersial di Jalan Ampang bernilai RM70 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Scanwolf menang tender pembangunan 2 blok komersial di Jalan Ampang bernilai RM70 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 MacScanwolf Corporation Berhad memperoleh kontrak bagi melaksanakan kerja-kerja pembangunan bernilai RM70 juta melibatkan dua blok komersial di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.


Katanya, anak syarikat milik penuhnya, Scanwolf Plastic Industries Sdn Bhd sudah menerima surat penganugerahan tender itu daripada Vestland Resources Sdn Bhd pada 27 Februari 2026.


Projek ini jelasnya, meliputi cadangan pembangunan dua blok bangunan perdagangan setinggi 69 tingkat (Blok SOHO) dan 78 tingkat (Blok SOVO) terletak di Lot 124 hingga Lot 128, Seksyen 44.


"Kerja-kerja subkontrak membabitkan banyak pakej sistem tersebut telah bermula akhir bulan lalu dan perlu disiapkan menjelang 9 Jun 2029," kata Scanwolf dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Bagi komponen struktur utama, skop kerja merangkumi pembinaan struktur utama podium dan menara termasuk pemasangan sistem platform memanjat sendiri bagi kerja pembinaan bertingkat tinggi.


Kumpulan berkenaan turut menggunakan sistem acuan aluminium untuk mempercepat dan meningkatkan ketepatan kerja konkrit bertetulang, dengan kerja-kerja merangkumi kalis air secara menyeluruh.


Ini jelas Scanfwolf, termasuk kerja basah berkaitan seperti konkrit, melepa dan kemasan struktur mengikut lukisan serta spesifikasi teknikal bangunan yang diluluskan pihak berkuasa tempatan.


"Selain itu, pakej kerja mekanikal merangkumi pembekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan sistem bangunan termasuk sistem penyaman udara dan pengudaraan mekanikal," kata kumpulan tersebut.


Mereka turut memasang sistem bekalan gas berpusat, pam kolam renang dan ciri air, perlindungan kebakaran, rangkaian telekomunikasi serta pengurusan sisa dan bilik pengumpulan sampah-sarap.


Scanwolf berkata kesemua kerja tersebut dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan, keperluan pihak berkuasa dan standard kualiti yang ditetapkan dengan langkah pengawalan risiko sewajarnya.


Kontrak terbaharu itu tidak memberi kesan kepada modal saham dan struktur pemegang saham, serta dijangka memberi sumbangan positif kepada peroleham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.


"Di samping itu, tidak mana-mana pengarah, atau pemegang saham mempunyai kepentingan langsung atau tidak dengan tender berkenaan," jelas kumpulan itu lagi. - DagangNews.com