Scammer Online Sasar Kanak-kanak, Warga Emas Kaut Wang Segera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Scammer Online Sasar Kanak-kanak, Warga Emas Kaut Wang Segera

Oleh MOHD FAIZAL ZAKARIA

KUALA LUMPUR 28 Nov - Muhaimin hanyalah seorang pelajar Tingkatan 3 yang aktif bermain permainan online. Dalam sehari-hari dia menghabiskan masa sehingga 3 jam bermain dengan rakan-rakan dari pelbagai pelosok dunia.

 

Perkenalannya dengan pemain lain menjadi semakin akrab dan mereka mula bertukar-tukar maklumat. Tanpa sedar Muhaimin telah berkongsi maklumat peribadi, gambar dalam aksi kurang sopan dan akhirnya dia terjerat sehingga terpaksa menyerahkan maklumat kad debit milik ibunya. Sedar-sedar sejumlah wang lesap dari akaun milik wanita itu.

 

Muhaimin bukanlah satu kes terpencil malah terdapat jutaan kanak-kanak menjadi sasaran penyangak online (scammer) dengan memeras mereka untuk mendapatkan maklumat sulit perbankan hanya melalui permainan dalam talian.

 

 

 

 

 

 

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi di Fakuti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr. Latifah Abd Latib, kanak-kanak dan warga emas merupakan kumpulan paling rentan untuk dijadikan sasaran penipuan online.

 

dr latifah
Dr. Latifah Abd Latib

 

“Penipuan sering diusulkan melalui permainan (game), di mana mereka terdedah kepada orang luar. Penipu online boleh mendapatkan maklumat kewangan ibu bapa dan memanipulasi remaja. Mereka ini nafi dan kadang-kadang berfikiran pendek. 

 

“Pernah berlaku kes di mana remaja diarahkan oleh penipu online untuk mengambil barang kemas ibu bapa di rumah dan menyerahkannya kepada penipu di tempat yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi DagangNews.

 

Warga Emas Sasaran Utama

Golongan warga emas juga menjadi sasaran utama penyangak siber kerana mereka biasanya mempunyai kewangan yang stabil sementelah tidak terdedah dengan manipulasi penipuan online.

 

“Taktik yang digunakan (terhadap warga emas) termasuklah penipuan cinta (love scam) kononnya menemui peneman baharu yang mengambil berat. Mangsa akhirnya akan diminta memindahkan sejumlah wang atas alasan masalah kesihatan atau tiket penerbangan, lalu wang mereka dikikis sedikit demi sedikit. 

 

“Lebih membimbangkan, teknologi AI kini membolehkan penipu online merekod suara dan memanipulasi  supaya kedengaran seperti anak atau cucu mangsa yang sedang menghadapi kecemasan, akhirnya memaksa warga emas tersebut memasukkan duit dengan segera tanpa berfikir panjang kerana mereka cepat berasa cemas,” kata Latipah.

 

mcmc 2

 

Tambah beliau, mangsa penipuan bukanlah hanya golongan yang tidak berpendidikan tinggi, tetapi data menunjukkan individu terpelajar dan berkerjaya pun boleh terperangkap dengan kelicikan penipu siber. 

 

“Ini berlaku kerana penipu itu kreatif, dan mangsa mungkin berada dalam keadaan tertekan atau tidak waras pada ketika itu, menyebabkan mangsa tidak dapat berfikir secara normal,” katanya.

 

Tambah Latifah, kajian akademiknya mendapati terdapat peningkatan kes penipuan yang  didorong oleh kebocoran data yang sangat berleluasa malah mendapatkan nombor kad pengenalan dan nama mangsa boleh diperoleh dalam sekelip mata. 


“Terdapat undang-undang perlindungan data peribadi namun kesedaran awam di negara ini mengenai hak pengguna terhadap data peribadi masing-masing masih berada pada tahap rendah. Masyarakat perlu tahu apa hak mereka dari segi perundangan dan bagaimana untuk bertindak jika data mereka disalahgunakan.

 

mcmc 2

 

“Walau apa jua jenis penipuan yang berlaku (seperti penipuan cinta, deepfake, atau penipuan pelaburan) matlamat utamanya ialah wang. Impak  paling nyata dalam penipuan online ialah kerugian sentiasa berlaku dari segi kewangan,” katanya.

 

Berkongsi pengalaman sendiri, seorang kaunselor bertauliah, Dr. Uzaimah Ahmad Nizam berkata, kad kreditnya diceroboh gara-gara menjawab satu panggilan telefon dari sebuah negara di benua Afrika.

 

“Mereka buat kerja ketika kita sedang tidur terutama pada waktu selepas tengah malam. Jadi kita tidak perasan notifikasi aplikasi. Apabila waktu siang, notifikasi baru akan banyak dan kita akhirnya tidak menyedari aktiviti telah berlaku.

 

“Saya kehilangan lebih RM200 dalam tempoh dua bulan. Mereka tidak ambil banyak agar kita tidak menyedari pencerobohan akaun ini dan dalam penyata pun kita ingat bayaran seperti caj tempat letak kereta. Ini menyebabkan kita tidak berasa hairan tetapi bayangkan jika ada 1,000 akaun sehari yang digodam, berapa banyak yang telah berjaya diperoleh penipu siber ini,” kata Uzaimah.

 

Uzaimah
Dr. Uzaimah Ahmad Nizam

 

Menyentuh aspek emosi mangsa penipuan siber, Uzaimah berkata, kesan penipuan kewangan amat mendalam, terutamanya dari segi tekanan emosi. 

 

“Apabila seseorang kehilangan wang, terutamanya dalam jumlah yang besar, ia boleh menyebabkan kemerosotan mental (mentally breakdown) dan pemikiran menjadi tidak stabil. Dalam satu contoh filem yang diceritakan, seorang mangsa telah membunuh diri kerana tekanan dan stres akibat kehilangan sejumlah besar wang pelaburan akibat penipuan online.

 

“Memandangkan kesan emosi yang begitu parah, sumber-sumber menekankan bahawa Kerajaan tidak seharusnya hanya bersiap sedia untuk pencegahan (prevention), tetapi lebih proaktif memberikan sokongan pasca-penipuan. 

 

“Pada masa ini, sokongan moral, bantuan emosi, atau sokongan pemulihan kewangan bagi mangsa yang telah ditipu dilihat masih kurang jelas atau tidak diformalisasikan. Mangsa yang telah ditipu sering berasa terasing,” jelas Uzaimah.

 

mcmc 3

 

Katanya, kebanyakan mangsa berasa malu untuk melaporkan atau bercerita kerana bimbang dianggap sebagai tolol. 

 

“Apabila kes tidak dilaporkan, ia tidak wujud dalam statistik, menyebabkan isu ini seperti kes terpencil (isolated cases). Justeru, agensi atau kerajaan perlu menyediakan saluran untuk bantuan emosi dan mencari pemulihan kewangan bagi mangsa, terutamanya jika mereka menanggung beban hutang selepas penipuan,” katanya.

 

Untuk mengelakkan penipuan, individu perlu terus menerus meningkatkan literasi digital dengan mengambil peduli mengenai isu-isu ini. Ini adalah penting kerana semua orang menggunakan teknologi, bukan hanya pakar komputer.

 

 

 

 

 

 

 

 

Bukan tanggungjawab kerajaan sahaja

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menegaskan, langkah mengawal selia akses terhadap sesuatu kandungan di Internet bukan menjadi tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata tetapi juga melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa.

 

Oleh yang demikian, MCMC menggerakkan inisiatif berbentuk kesedaran di seluruh negara seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dan Malaysian ICT Volunteer (MIV) bagi mendidik serta menggalakkan masyarakat agar mengamalkan kawalan kendiri, menggunakan Internet secara berhemah serta memupuk budaya penggunaan media baharu secara bijaksana.

 

mcmc poster5

 

Inisiatif Parental Control Tools turut digerakkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet (ISP) bagi mengupayakan pengguna Internet, khususnya golongan ibu bapa, dengan kemudahan untuk memantau dan menyaring kandungan yang diakses oleh keluarga serta anak-anak, bagi mengelakkan penularan kandungan yang tidak diingini. - DagangNews.com