KUALA LUMPUR 13 Jun - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan dua lagi aset digital baharu di platform Luno, iaitu Hedera (HBAR) dan The Graph (GRT), menjadikan jumlah keseluruhan aset kripto yang ditawarkan oleh Luno di Malaysia kepada 22, yang terbanyak di negara ini.
Penyenaraian aset baharu itu memberi peluang kepada pelabur untuk meneroka lebih banyak pilihan dalam dunia kripto dan mempelbagaikan pelaburan dengan cara yang selamat.
Pengurus Negara Luno Malaysia, Scarlett Chai berkata, HBAR adalah rangkaian awam yang laju dan jimat tenaga.
Ia menggunakan teknologi hashgraph untuk memastikan transaksi berjalan pantas dan selamat dengan kos yang rendah.
"HBAR mengenakan caj yang tetap dan menawarkan sistem pengurusan yang kukuh, menjadikannya sesuai untuk aplikasi digital yang stabil dan boleh berkembang," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, GRT pula adalah sistem tanpa pusat kawalan yang memudahkan capaian data rantaian blok, membantu pembangun mencipta aplikasi dApps yang laju dan boleh dipercayai di pelbagai rangkaian.
Chai dalam pada itu berkata, kedua-dua aset berkenaan telah melalui saringan ketat dari segi teknikal, peraturan dan undang-undang bagi memastikan ia sesuai dilancarkan di Malaysia, rantau Asia Pasifik, Eropah dan Afrika.
"Aset yang melepasi saringan akan dikemukakan kepada SC untuk kelulusan sebelum boleh ditawarkan kepada pelabur di Malaysia," jelasnya.
Setakat ini, Luno telah mencadangkan lebih 25 aset digital kepada SC dan 22 daripadanya sudah diluluskan serta tersedia di platform itu.
Selain HBAR dan GRT, Luno juga telah menambah aset Algorand dan NEAR Protocol, serta meluaskan perkhidmatan 'staking’ kepada Polkadot, NEAR Protocol dan Cosmos. - DagangNews.com








