Sasaran Gamuda buku pesanan cecah RM55 bilion menjelang akhir 2026 dalam jangkauan -  RHB Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sasaran Gamuda buku pesanan cecah RM55 bilion menjelang akhir 2026 dalam jangkauan -  RHB Research 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Dis — Gamuda Bhd berpotensi mencapai sasaran buku pesanan antara RM50 bilion hingga RM55 bilion menjelang akhir tahun kewangan 2026 (CY26), disokong oleh saluran peluang projek yang kukuh di peringkat domestik dan antarabangsa, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan andaian konservatif, buku pesanan kumpulan itu dianggarkan berada pada paras RM40 bilion setakat akhir CY25, dengan kadar penggunaan tahunan sekitar RM15 bilion. 

 

"Ini bermakna GAM perlu memperoleh kerja baharu bernilai kira-kira RM25 bilion hingga RM30 bilion sepanjang CY26 bagi mencapai sasaran tersebut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB, sasaran itu dilihat realistik memandangkan Gamuda sedang membida tender bernilai sehingga kira-kira RM50 bilion. 

 

Daripada jumlah itu, sekitar RM10 bilion melibatkan projek domestik, RM30 bilion dari Australia, manakala baki RM10 bilion merangkumi projek di Singapura dan Taiwan.

 

Sehubungan itu, tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan kumpulan memandangkan kemenangan kontrak terbaharu adalah selari dengan andaian pengisian semula kerja bagi FY26. 

 

Harga sasaran (TP) berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) pada RM7 sesaham, yang mengambil kira premium ESG sebanyak 8%, turut dikekalkan.

 

Dari segi penilaian, saham Gamuda kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 17.4 kali bagi FY27F, iaitu lebih tinggi berbanding purata P/E 10 tahun Indeks Pembinaan Bursa Malaysia sekitar 14 kali. 

 

Namun begitu, RHB berpandangan masih terdapat ruang untuk penilaian lebih tinggi, disokong oleh keupayaan kukuh Gamuda dalam segmen pusat data (data centre, DC) serta peluang projek infrastruktur di Australia yang dianggarkan melebihi AUD50 bilion bagi tempoh FY27F hingga FY29F.

 

Bagaimanapun, risiko utama kepada prospek kumpulan adalah trend pengisian semula kerja yang lebih perlahan daripada jangkaan, yang boleh memberi tekanan kepada pertumbuhan pendapatan pada masa hadapan. - DagangNews.com