Sarawak, syarikat China bangunkan loji solar terapung 1,000MW di Empangan Hidroelektrik Bakun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak, syarikat China bangunkan loji solar terapung 1,000MW di Empangan Hidroelektrik Bakun

Gambar/FB Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Jun - Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau di Asia Tenggara melalui kerjasama dengan dua syarikat China untuk membangunkan loji solar terapung di Empangan Hidroelektrik Bakun.

 

Sarawak Energy Berhad berkata, projek itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Utiliti Sarawak dengan China Three Gorges International (CTGI) dan Shanghai Electric Power hari ini, sempena Persidangan Antarabangsa Solar Fotovoltaik dan Tenaga Pintar 2025 di Shanghai.

 

"Perjanjian ini bertujuan untuk menjalankan pelbagai kajian dan kerjasama bagi membangunkan kemudahan solar terapung berkapasiti tidak melebihi 1,000 megawatt (MW) di takungan Empangan Hidroelektrik Bakun," katanya dalam satu kenyataan.

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Jafri Lias; Naib Presiden CTGI, Zhang Kai Hong; dan Naib Presiden Shanghai Electric Power, Yang Xing Hai.

 

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy dan Petros) merangkap Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki yang mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

 

Turut hadir ialah Datuk Bandar Shanghai, Gong Zheng dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili.

 

Dalam ucaptama yang dibacakan oleh Ibrahim, Abang Johari berkata, kerjasama strategik dengan rakan industri seperti CTGI dan Shanghai Electric Power mampu menyokong usaha Sarawak untuk memastikan keselamatan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

 

"Menjelang tahun 2030, Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 10 gigawatt (GW) dan meningkat kepada 15GW menjelang 2035, dengan lebih 60% tenaga dijana daripada sumber boleh diperbaharui," katanya.

 

Ucapan itu turut menyentuh dasar tenaga boleh diperbaharui Sarawak termasuk pindaan kepada Ordinan Elektrik negeri untuk menggalakkan pembangunan solar berskala besar, penjanaan tenaga oleh pengguna serta penyertaan pengeluar tenaga bebas.

 

Pada Disember tahun lalu, Sarawak telah menyiapkan ladang solar terapung pertama berskala besar berkapasiti 50MW di kawasan seluas 190 hektar di takungan Empangan Hidroelektrik Batang Ai, yang menggabungkan tenaga hidro dan solar. - DagangNews.com