KUALA LUMPUR 19 Jun - Sarawak menyasarkan untuk menyenaraikan tiga syarikat Bumiputera Sarawak di Bursa Malaysia menjelang 2030 menerusi kerangka '3-7-20' di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera Sarawak 2035 (SBB2035).
Timbalan Premier merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penyenaraian di Bursa Malaysia penting sebagai strategi untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan ketelusan syarikat.
"Dengan penyenaraian, syarikat boleh mendapat lebih banyak modal, mengukuhkan tadbir urus dan membina asas pertumbuhan jangka panjang.
"Ia bukan hanya soal nama, tetapi menunjukkan keyakinan pasaran terhadap keupayaan syarikat Bumiputera," katanya seperti laporan The Borneo Post.
Ucapan beliau dibacakan oleh Penasihat Kementerian, Dato Sri Mohd Naroden Majais dalam program 'Road to IPO: Sarawak Edition', semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi.
Beliau berkata, syarikat yang disenaraikan turut membantu ekonomi tempatan dengan menyediakan peluang pekerjaan, mewujudkan rantaian bekalan yang lebih menyeluruh dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Saya harap kerjasama antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, institusi pelaburan dan pelabur dapat diteruskan untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berjaya," jelasnya.
Beliau menambah, selain menyasarkan tiga syarikat tersenarai, kerangka 3-7-20 juga bertujuan membangunkan tujuh syarikat berjaya dalam sektor strategik di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030, serta menaik taraf 20% perusahaan mikro menjadi syarikat sendirian berhad menjelang 2030.
"Sasaran ini juga menunjukkan komitmen kita untuk melahirkan syarikat Bumiputera yang kukuh dan memberi kesan besar kepada ekonomi negeri dan negara," ujarnya.
Awang Tengah berkata, untuk mencapai sasaran tersebut, Sarawak memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk akses pembiayaan, tadbir urus yang lebih baik, pembangunan kapasiti dan laluan jelas ke pasaran modal.
Beliau turut memaklumkan, Teraju kini bekerjasama dengan institusi kewangan dan pasaran seperti Bursa Malaysia melalui platform seperti Dana Pengembangan Bumiputera (BECF) dan Pembiayaan Modal Kerja Islamik (I-WCPF) bagi membantu pertumbuhan menyeluruh syarikat Bumiputera.
Beliau menambah, program Road to IPO merupakan platform penting untuk mengukuhkan ekosistem keusahawanan Bumiputera di Sarawak.
"Program ini memberi panduan dan sokongan kepada syarikat Bumiputera berpotensi tinggi supaya mereka dapat meluaskan operasi, meningkatkan daya saing dan mengukuhkan tadbir urus sebagai persediaan sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya. - DagangNews.com








