Sarawak Plantation pulihkan 6,000 hektar ladang bermasalah, lonjak pengeluaran FFB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak Plantation pulihkan 6,000 hektar ladang bermasalah, lonjak pengeluaran FFB

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 27 April - Sarawak Plantation Berhad telah berjaya memulihkan sepenuhnya kira-kira 6,000 hektar ladang kelapa sawit yang sebelum ini berdepan pelbagai masalah kecekapan operasi.

 

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Wong Kuo Hea berkata, kawasan “bermasalah” tersebut sebelum ini menghadapi isu lazim seperti pertumbuhan pokok terbantut, akses terhad akibat banjir, pertumbuhan rumpai serta masalah penyelenggaraan lain.

 

“Kawasan ini kebanyakannya adalah ladang matang muda yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan kerja-kerja pemulihan segera.

 

“Dengan baki terakhir 20 hektar yang dinormalkan pada 2025, kumpulan telah berjaya menyelesaikan keseluruhan proses normalisasi bagi semua kawasan dikenal pasti. Kawasan ini dijangka menyokong pertumbuhan pengeluaran berterusan,” katanya dalam laporan tahunan syarikat 2025.

 

Kumpulan Sarawak Plantation sebelum ini mengenal pasti 6,000 hektar kawasan yang memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan pengeluaran tandan buah segar (FFB), selepas Ta Ann Holdings Bhd muncul sebagai pemegang saham terbesar dengan pegangan 30.39% menerusi pembelian bernilai RM169.9 juta pada 2018.

 

Dalam masa sama, Sarawak Plantation turut melaksanakan usaha berterusan untuk memulihkan kira-kira 6,400 hektar ladang yang terhalang akibat pendudukan oleh penduduk tempatan melalui pendekatan libat urus.

 

Usaha pemulihan 

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, kumpulan telah berjaya memulihkan kira-kira 4,300 hektar. Kawasan matang yang masih terlibat dengan isu tersebut adalah sekitar 2,100 hektar.

 

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kumpulan kekal komited untuk memulihkan semua atau sekurang-kurangnya sebahagian besar kawasan ini,” kata Wong yang juga merupakan pengarah urusan Ta Ann.

 

Setakat akhir 2025, jumlah kawasan belum matang kumpulan Sarawak Plantation adalah sekitar 8,900 hektar, mewakili kira-kira 30% daripada keseluruhan kawasan boleh dituai seluas 29,460 hektar yang merangkumi 13 estet dengan jumlah keluasan tanah 42,745 hektar.

 

Pada tahun lalu, Wong berkata kumpulan telah membelanjakan kira-kira RM68 juta bagi perbelanjaan tanaman kekal (bearer plants), yang merangkumi pembangunan, penanaman, kos ladang serta kos tidak langsung bagi kawasan baharu dan penyelenggaraan kawasan belum matang sedia ada.

 

Sebanyak RM9 juta lagi diperuntukkan bagi perbelanjaan modal (CAPEX) termasuk pembelian peralatan mudah alih dan aset tetap bagi menyokong keperluan operasi.

 

Wong berkata, selepas menghentikan penanaman baharu di tanah gambut beberapa tahun lalu sebagai sebahagian komitmen terhadap kelestarian, pertumbuhan pengeluaran kumpulan kini bergantung kepada peningkatan hasil daripada estet sedia ada serta kawasan penanaman semula.

 

Pengeluaran FFB meningkat 

Pada 2025, pengeluaran tandan buah segar (FFB) meningkat 7% kepada 360,993 tan berbanding 337,661 tan pada 2024. Hasil FFB per hektar turut meningkat 13% kepada 17.93 tan per hektar daripada 15.91 tan per hektar tahun sebelumnya.

 

Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi lebih baik kawasan muda dan matang serta kematangan kawasan baharu seluas 1,100 hektar.

 

Dua kilang kelapa sawit kumpulan pula menghasilkan 33,707 tan minyak sawit mentah (CPO), susut 4% berbanding 35,161 tan pada 2024.

 

Dari segi jentera, Sarawak Plantation telah menggunakan enam jentera penuaian FFB di beberapa estet bagi memodenkan operasi dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.

 

Jentera dikenali sebagai “Lipan” ini diperkenalkan pada 2024 dengan teknologi kawalan tanpa wayar bagi memudahkan proses penuaian.

 

Prospek pertumbuhan kumpulan

Kenderaan enam roda itu diubah suai daripada penggunaan industri pembalakan bagi menyesuaikan operasi di kawasan berbukit dan mencabar untuk kerja pengangkutan FFB.

 

Syarikat menjangkakan penggunaan jentera ini akan diperluaskan di kawasan baharu yang direka khusus untuk operasi berasaskan jentera pada masa depan.

 

Bagi prospek, Wong berkata kumpulan kekal yakin bahawa ladang muda dan matang yang berkualiti, serta program penanaman semula yang berterusan, akan terus menyokong pertumbuhan pengeluaran dalam tempoh terdekat.

 

“Dengan kedudukan kewangan yang kukuh serta strategi pengurusan kos yang berkesan, kumpulan berada pada kedudukan terbaik untuk melaksanakan inisiatif pertumbuhan dan mengembangkan perniagaan berkaitan yang melengkapi atau bersepadu dengan perniagaan teras,” katanya.

 

Bagi tahun kewangan 2025 (FY25), Sarawak Plantation mencatatkan keuntungan bersih RM105.8 juta, meningkat 15% berbanding RM92 juta pada FY24, selari dengan peningkatan hasil kepada RM571.6 juta daripada RM551.4 juta.

 

Pendapatan sesaham turut meningkat kepada 38 sen berbanding 33 sen pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com