Sarawak perkasa agenda air dan tenaga hijau, kukuhkan aspirasi PCDS 2030 - Abang Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak perkasa agenda air dan tenaga hijau, kukuhkan aspirasi PCDS 2030 - Abang Johari

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucaptama bertajuk “Water: Driving Sarawak’s Resilient and Sustainable Future” pada IWA Water and Development Congress and Exhibition di Bangkok, Thailand. GAMBAR/Pejabat Premier Sarawak

KUALA LUMPUR 9 Dis -  Sarawak terus memacu aspirasi sebagai ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 melalui pelaksanaan strategi praktikal dan inovatif dalam sektor bekalan air serta tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

 

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja memperkukuh ketahanan negeri, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

 

Berucap menyampaikan ucaptama bertajuk “Water: Driving Sarawak’s Resilient and Sustainable Future” pada IWA Water and Development Congress and Exhibition di Bangkok, beliau mengakui keluasan geografi Sarawak dan populasi luar bandar hampir 40 peratus kekal menjadi cabaran utama penyediaan bekalan air yang andal.

 

Namun, tegasnya, kerajaan negeri telah merangka pendekatan bersasar bagi memastikan komuniti terpencil tidak tercicir, sejajar dengan teras inklusif PCDS 2030.

 

62% tenaga Sarawak daripada sumber boleh diperbaharui

Menurut Abang Johari, tenaga boleh diperbaharui terus menjadi nadi transformasi ekonomi hijau negeri, dengan tenaga hidro dari empangan Batang Ai, Bakun dan Murum membentuk tulang belakang campuran tenaga bersih Sarawak.

 

“Sarawak kini memperoleh kira-kira 62 peratus tenaga daripada sumber boleh diperbaharui. Kami menyasarkan kapasiti 10GW menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035,” katanya.

 

Sasaran tersebut, jelasnya, mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai “Battery of ASEAN”, sekali gus menjadikan negeri itu pembekal tenaga hijau utama bagi rantau berkenaan.

 

Air sebagai komoditi baharu dalam aspirasi tenaga hijau

Abang Johari turut menegaskan air kini muncul sebagai komoditi strategik dalam pembangunan tenaga hijau, khususnya melalui teknologi hidro dan hidrogen.

 

Beliau juga menyorot pelaksanaan teknologi solar terapung di takungan hidro, dengan projek solar terapung 50MW di Batang Ai telah beroperasi sepenuhnya.

 

Kapasiti projek itu dirancang untuk diperluas kepada 160MW, manakala sistem sama akan dilaksanakan di Bakun dan Murum.

 

Pembangunan hidro masa depan pula akan mengguna pakai kaedah cascading reservoirs untuk mengoptimumkan penjanaan tenaga tanpa menjejaskan alam sekitar dan komuniti setempat.

 

Dalam aspek pengurusan air sisa, Sarawak sedang memperkukuh sistem pembetungan individu dan awam melalui teknologi mesra alam, prinsip ESG, dan kaedah pemulihan sumber moden.

 

“Inovasi seperti penyelesaian enapcemar-ke-tenaga akan mewujudkan sistem berdikari serta menukar sisa kepada sumber bernilai,” katanya.

 

Rancangan Lima Tahun 2026–2030 perhebat transformasi struktural

Abang Johari turut mengumumkan pelancaran Rancangan Pembangunan Lima Tahun 2026–2030, yang akan mempercepat pelaksanaan projek strategik dan meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan negeri.

 

Beliau menggesa pemain industri dan pelabur untuk berganding bahu bagi mengukuhkan infrastruktur lestari Sarawak.

 

“Bersama-sama, kita dapat memacu pemelbagaian ekonomi, memperkukuh kesejahteraan sosial dan membina masa depan yang makmur dan berdaya tahan,” katanya.

 

Menutup ucapan, beliau mengumumkan bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah dua acara global berprestij iaitu Borneo International Water and Wastewater Exhibition and Conference 2026 dan IWA World Water Congress and Exhibition 2028.

 

Kedua-dua acara dijangka menarik kehadiran pakar, pembuat dasar dan pemain industri bagi membincangkan cabaran baharu serta hala tuju tadbir urus air global. - The Borneo Post