Sarawak bangunkan pelabuhan kapal persiaran antarabangsa di Pantai Damai, Santubong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak bangunkan pelabuhan kapal persiaran antarabangsa di Pantai Damai, Santubong

Pantai Damai di Santubong, kira-kira 40km dari bandar raya Kuching, Sarawak. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kerajaan Sarawak akan membangunkan kemudahan pelabuhan bagi menampung kapal persiaran antarabangsa yang membawa antara 2,000 hingga 6,000 pelancong bagi setiap kapal di Pantai Damai, Santubong.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

 

“Laluan kapal persiaran bermula dari Phuket dan singgah di Pelabuhan Klang, Pulau Pinang serta Singapura sebelum ke Hong Kong, namun ketika ini tidak melalui Borneo kerana ketiadaan pelabuhan yang sesuai.

 

“Bagi mengatasi perkara ini, sebuah pelabuhan sedang dirancang dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun, sekali gus membolehkan kapal persiaran singgah di Damai,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di sini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai itu berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan tersebut sebagai antara lokasi yang akan terus dinaik taraf bagi tujuan pelancongan.

 

Beliau berkata, dalam tempoh 20 tahun lalu, kawasan pelancongan itu telah mengalami perubahan ketara khususnya dari segi infrastruktur yang sentiasa ditambah baik dan dipertingkatkan.

 

Antara tarikan utama di bawah Pantai Damai ialah Telaga Air, Damai dan Santubong termasuk Pasir Pandak serta Buntal.

 

“Di Telaga Air khususnya Kampung Trombol, Kolej i-CATS akan dibangunkan dan dinaik taraf menjadi sebuah universiti penuh. Terletak kira-kira dua kilometer dari Telaga Air, pembinaan telah pun bermula dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun melibatkan keluasan 200 ekar.

 

“Pembangunan ini dijangka merancakkan sektor pelancongan dan pendidikan di kawasan berkenaan,” katanya.

 

Beliau berkata, kawasan pelancongan lain yang dikenal pasti termasuk kawasan pesisir seperti Trombol, Telaga Air, Kampung Sibu Laut dan Sungai Aur yang telah dinaik taraf dengan kemudahan ekopelancongan.

 

Katanya, jumlah pelancong juga menunjukkan peningkatan, dengan mengambil contoh perkampungan nelayan di Telaga Air yang kini menerima kehadiran pengunjung yang ramai pada hujung minggu.

 

Bagi menyokong pertumbuhan tersebut, beliau berkata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah dimaklumkan mengenai keperluan meningkatkan kesalinghubungan di kawasan itu.

 

“Kerajaan negeri akan membangunkan dua lebuh raya, satu sebagai sambungan Lebuhraya Pehin Sri Adenan Satem dan satu lagi menuju ke Kampung Telaga Air, kedua-duanya sebagai jalan dua lorong dua hala.

 

“Sebatang lagi jalan akan menghubungkan ke universiti yang bakal dibina. Jalan-jalan utama ini dijangka meningkatkan akses dan kemudahan kepada pelancong serta pengunjung,” katanya.

 

Beliau berkata, kawasan utama kedua di Damai yang merangkumi Santubong, Kampung Pasir Pandak dan Pasir Panjang juga memerlukan pembangunan menyeluruh termasuk menaik taraf Jalan Sultan Tengah dari Bulatan Yayasan ke Damai sepanjang 22.4 kilometer.

 

“Jalan satu lorong sedia ada akan diperluas menjadi dua lorong dua hala dengan laluan basikal, trek joging dan laluan pejalan kaki, manakala di bahagian tengah akan diwujudkan laluan hijau bagi sistem Transit Aliran Pantas Autonomi (ART).

 

“Mengenai cadangan pelabuhan Damai, SEDC telah dimaklumkan dan projek dijangka bermula sama ada hujung tahun ini atau awal 2027. Lokasi telah dikenal pasti berhampiran Camp Permai, manakala kemudahan sedia ada akan dikekalkan. Kos projek bagaimanapun masih belum didedahkan,” katanya. - DagangNews.com