Saranan 'beli' terhadap EcoWorld kekal susulan pelupusan tanah RM119 juta di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saranan 'beli' terhadap EcoWorld kekal susulan pelupusan tanah RM119 juta di Johor

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Mac - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Eco World Development Group Bhd susulan pengumuman syarikat mengenai pelupusan tanah, yang dijangka memperoleh sejumlah RM119 juta. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelupusan 13.31 hektar tanah di Eco Business Park (EBP II) di Senai, Iskandar Malaysia dengan harga RM119 juta adalah menarik pada harga RM83 sekaki persegi, lebih tinggi daripada harga transaksi tanah terkini di Senai yang berharga RM70 sekaki persegi.

 

"Keuntungan daripada pelupusan tanah dijangka meningkatkan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2026 (FY26) sebanyak kira-kira 7%. 

 

"Ramalan pendapatan dikekalkan, menunggu penutupan pelupusan tanah tersebut," kata MIDF Research dalam satu laporan.

 

Ia juga mengekalkan harga sasaran untuk saham tersebut pada RM2.11 sesaham. 

 

Pada pemerhatian terakhir, saham berkenaan diniagakan pada RM1.88.

 

Firma penyelidikan itu berkata, EcoWorld secara aktif memanfaatkan bank tanahnya untuk mengoptimumkan pulangan dan memperkukuhkan Eco Business Park. 

 

Jelasnya, EcoWorld mencatatkan jumlah jualan tanah sebanyak RM1.59 bilion sejak 2024, dengan jualan terkini melibatkan pelupusan 23.54 hektar tanah industri pegangan pajakan dalam EBP V kepada Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd dengan nilai RM266.1 juta secara tunai.

 

Pelupusan tanah itu dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan EcoWorld kerana syarikat baru-baru ini memeterai perjanjian bina dan sewa untuk pusat data dengan Pearl Computing, yang akan meningkatkan nisbah hutang bersihnya.

 

Nisbah hutang bersihnya dijangka menurun daripada 0.19 kali pada suku keempat 2024 kepada 0.15 kali selepas pelupusan terkini. - DagangNews.com