Sapura Energy peroleh 4 kontrak kerja perkhidmatan berjumlah RM500 juta di Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sapura Energy peroleh 4 kontrak kerja perkhidmatan berjumlah RM500 juta di Thailand

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Julai — Sapura Energy Berhad menerusi anak syarikatnya, Sapura Energy (Thailand) Limited (SETH) memperoleh empat kontrak kerja perkhidmatan yang berjumlah RM500 juta di Thailand.

 

Kumpulan tersebut berkata, satu tender berkenaan diterima daripada Chevron Thailand Exploration and Production Ltd dan Chevron Offshore (Thailand) Ltd yang meliputi bidang tugasan pelantar.

 

Antaranya kata syarikat berkenaan ialah tempahan kerja berkaitan platform kepala telaga luar pesisir serta perkhidmatan pengangkutan, pemasangan dan pengalihan saluran di negara itu.

 

"Projek baharu di bawah Perintah Kerja 1 tersebut dimulakan pada suku ketiga 2025 dan dijangka siap menjelang suku terakhir 2026," kata Sapura Energy dalam makluman kepada bursa Malaysia.

 

Sementara baki tiga lagi yang membabitkan tempahan kerja perkhidmatan daripada PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP) bermula suku kedua 2025 dengan tempoh siap lima bulan.

 

Tambah kumpulan berkenaan, kesemua kontrak yang diperoleh tersebut tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat itu sepanjang pelaksanaan kerja.

 

Sebaliknya kata Sapura Energy, tender berkenaan dijangka mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 dan seterusnya sehingga tamat kerja-kerja.

 

"Kumpulan akan mengambil pelbagai langkah sewajarnya untuk meminimumkan dan mengurangkan risiko operasi yang mempengaruhi kerja termasuk perubahan dalam persekitaran dan kawal selia," katanya.

 

Selain itu, tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat atau individu yang berkaitan dengan mereka memiliki sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam pemberian kontrak.

 

Lembaga Pengarah Sapura Energy juga tambahnya, berpendapat bahawa penerimaan tender kerja dan perkhidmatan tersebut adalah wajar demi kepentingan terbaik syarikat itu. - DagangNews.com