KUALA LUMPUR 8 Julai — Sapura Energy Berhad akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 30 Julai 2025, untuk para pemegang saham mengundi cadangan pelan penyusunan semula (PRP).
Usaha tersebut merupakan langkah penting untuk mengukuhkan struktur modalnya, menjelaskan kerugian terkumpul, menstruktur semula hutang, mendapatkan modal dan membina asas kukuh jangka panjang.
Selain itu, PRP bertujuan memulihkan kestabilan kewangan kumpulan minyak dan gas (O&G) serta anak-anak syarikatnya, membuka jalan untuk keluar daripada status penyenaraian Nota Amalan 17 (PN17).
Syarikat tersebut memperincikan empat komponen utama pelan antaranya cadangan pengurangan modal sebanyak 99.99 peratus untuk mengimbangi kerugian terkumpul dan memperbaiki struktur modalnya.
"PRP ini turut akan melaksanakan penyatuan saham 20 berbanding 1 untuk meningkatkan harga saham dan mengekang turun naik dagangan," kata Sapura Energy dalam pekeliling kepada pemegang saham.
Kumpulan berkenaan pada masa sama, EGM tersebut akan memberi jaminan kepada semua pemegang saham bahawa langkah dilakukan pengurusan tidak akan mencairkan kepentingan pemilikan sedia ada.
Ia juga merancang mengurangkan jumlah pinjaman hampir separuh, daripada RM10.8 bilion kepada RM5.6 bilion, yang dijangka mampu mengurangkan perbelanjaan faedah tahunan sebanyak lebih RM500 juta.
Tindakan itu bagi mencapai keuntungan mampan selain pengumpulan dana untuk menyelesaikan pembayaran vendor tertunggak dalam ekosistem O&G Malaysia, dan mengukuhkan hubungan pembekal.
"Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) telah berjanji untuk menawarkan sehingga RM1.1 bilion melalui stok pinjaman boleh tukar boleh tebus (RCLS) bagi dana berkenaan," kata Sapura Energy.
Pada masa sama, kumpulan itu juga memohon pengecualian untuk MDH dan Persons-Acting-in-Concert (PAC) daripada kewajipan melaksanakan Tawaran Mandatori sekiranya berlaku penukaran penuh RCLS.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Muhammad Zamri Jusoh berkata, mereka mengiktiraf kerumitan cadangan pelan penyelarasan tersebut namun komited untuk membantu pemegang saham.
"Kami mahu mereka memahami sepenuhnya butiran agar boleh membuat keputusan dan untuk menyokong ini, kami menubuhkan meja bantuan khusus untuk menjawab soalan dan kebimbangan mereka," katanya.
Jika diluluskan, PRP itu dijangka memberikan faedah jelas kepada Sapura Energy boleh memohon untuk keluar daripada status PN17 sebaik sahaja ia mencapai dua suku tahun menguntungkan berturut-turut.
Katanya, langkah modal dan instrumen baharu akan mengukuhkan ekuiti pemegang saham, manakala kunci kira-kira yang lebih sihat dijangka memulihkan kemudahan kredit perdagangan secara beransur-ansur.
Usaha itu tambah Muhammad Zamri, penting untuk melaksanakan projek dan mendapatkan kontrak baharu selain kedudukan kewangan kumpulan yang lebih stabil dapat memulihkan kembali keyakinan pasaran.
Sekiranya berjaya, PRP itu membolehkan Sapura Energy untuk memainkan peranan yang lebih kukuh dalam sektor O&G di Malaysia serta industri berkenaan di peringkat serantau secara lebih luas.
Kumpulan itu katanya, menegaskan sokongan pemegang saham adalah penting dan tanpa kelulusan, pelan penstrukturan semula hutang akan runtuh, menyebabkan masa depan syarikat menjadi tidak menentu.
Cadangan ini tambah beliau, mewakili langkah penting dalam laluan masa depan dan menentukan sama ada syarikat boleh membentuk semula menjadi sebuah syarikat berdaya tahan dan lebih menguntungkan.
"Dengan menangani liabiliti warisan, meningkatkan asas ekuiti dan mendapatkan sokongan strategik, kami mahu membina semula asas syarikat untuk keuntungan masa depan dan pulangan pemegang saham.
"Kami mengesyorkan semua pemegang saham Sapura Energy untuk mengundi menyokong cadangan ini dan menyokong pemulihan serta perjalanan penciptaan nilai," kata Muhammad Zamri. - DagangNews.com








