Samaiden tandatangani perjanjian pajakan tanah di Kelantan untuk projek solar 99.99MWac | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samaiden tandatangani perjanjian pajakan tanah di Kelantan untuk projek solar 99.99MWac

Gambar/FB Samaiden Group
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 Mei - Anak syarikat milik penuh Samaiden Group Bhd, Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd (SLTSB), menandatangani perjanjian pajakan jangka panjang dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi membangunkan loji tenaga solar berskala besar di bawah program LSS5 Malaysia.

 

Samaiden berkata, pajakan tanah seluas 161.9 hektar di Pasir Mas, Kelantan itu merupakan langkah penting dalam rancangan pengembangan tenaga hijau syarikat.

 

"Tanah itu akan digunakan untuk membina dan mengendalikan loji tenaga solar dengan kapasiti eksport maksimum 99.99MWac.

 

"Tenaga yang dihasilkan akan dijual kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui perjanjian pembelian tenaga (PPA)," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Samaiden, pajakan selama 23 tahun itu termasuk dua tahun tempoh pembinaan dan hanya akan bermula selepas syarat tertentu dipenuhi, seperti kelulusan projek LSS5 oleh Suruhanjaya Tenaga dan pemeteraian PPA dengan TNB.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Ir. Chow Pui Hee berkata, perjanjian berkenaan adalah langkah penting untuk menjayakan projek solar LSS5. 

 

"Ia juga selari dengan sasaran negara untuk mencapai 70% tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2050 dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang 2030," jelasnya.

 

Pui Hee berkata, tapak projek di Kelantan sangat sesuai untuk tenaga solar dan beliau turut berterima kasih atas sokongan kuat daripada kerajaan negeri dan PKINK.

 

"Kami berharap kerjasama ini akan membawa lebih banyak peluang dan manfaat," ujarnya.

 

Selain pembinaan loji solar, Samaiden juga mengutamakan pengambilan pekerja tempatan serta menyebarkan tentang manfaat RE kepada komuniti setempat.

 

Perjanjian pajakan itu dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan melalui penciptaan peluang pekerjaan dan perkongsian ilmu dalam bidang RE. - DagangNews.com