KUALA LUMPUR 10 Feb - Samaiden Group Bhd sedang mengintai beberapa projek tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti program solar berskala besar kelima (LSS5) dengan sasaran aset RE menyumbang 12% daripada hasil kumpulan.
TA Securities berkata, ia akan menyokong sasaran dalaman kumpulan bagi menjana antara 10% hingga 15% daripada pendapatan berulang kumpulan.
Katanya, kumpulan itu merupakan antara penerima manfaat utama kitaran menaik dalam pembangunan loji RE, disokong rekod buku pesanan tertinggi, kunci kira-kira yang kukuh dan aset RE yang terjamin bertujuan meningkatkan pendapatan berulang.
"Pemangkin utama yang dikenal pasti ialah anugerah kontrak kejuruteraan LSS5 dan LSS5+, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), anugerah kontrak Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (Cress) EPCC, dan kemenangan aset di bawah LSS5+.
"Bagaimanapun kumpulan itu juga berdepan beberapa risiko termasuk kenaikan mendadak dalam kos bahan mentah, seperti modul solar, dan kelewatan dalam pelaksanaan projek," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan menyasarkan sehingga RM700 juta dalam potensi pekerjaan EPCC daripada LSS5, yang diterjemahkan kepada anggaran 200MWac kapasiti projek, atau bahagian 10% daripada jumlah kapasiti yang dilelong di bawah LSS5.
Ia menjangkakan anugerah kontrak EPCC akan direalisasikan mulai suku kedua 2025 dan seterusnya mengembangkan lagi buku pesanannya RM521 juta, iaitu 2.3 kali ganda hasil tahun kewangan 2024 (FY24).
Bagi prospek EPCC, TA Securities berkata, Samaiden menyasarkan 10% bahagian yang sama, atau 200MWac, pekerjaan LSS5+ EPCC, diterjemahkan kepada tambahan RM700 juta dalam kontrak EPCC.
Di luar LSS5 dan LSS5+, kumpulan itu mengintai peranan EPCC dalam projek solar terapung hidro hibrid 2.5GW Tenaga Nasional Bhd dan loji solar fotovoltaik (PV) hibrid 1GW UEMITRAMAS di Johor.
Anak syarikatnya juga telah disenarai pendek untuk membangunkan loji solar PV 99.99MWac di bawah Pakej 3 (kategori 30MW hingga 500MW) kitaran lelongan LSS5.
"Bagi LSS5+, Samaiden menyasarkan kapasiti tambahan 100MWac (sebagai pemilik aset), kali ini melalui pegangan usaha sama dalam sebuah konsortium.
"Kumpulan itu juga telah mengemukakan bidaan sebanyak 18MW di bawah program Feed-in-Tariff 2.0 terbaru untuk aset biotenaga, dengan hasil bidaan dijangka diumumkan dalam tempoh dua bulan akan datang," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.69 sesaham. - DagangNews.com








