KUALA LUMPUR 30 Julai - Samaiden Group Berhad melalui anak syarikatnya, memperoleh tiga projek biotenaga di bawah mekanisme Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA)
Kumpulan itu berkata, projek yang diluluskan meliputi dua loji janakuasa biojisim masing-masing di Tangkak, Johor dan Kemaman, Terengganu, serta sebuah loji janakuasa biogas di Bachok, Kelantan.
Projek itu katanya, menambah lebih 18 megawatt (MW) kapasiti biojisim dan biogas kepada portfolio Samaiden, serta mengukuhkan lagi kedudukannya dalam sektor tenaga boleh baharu (RE) di Malaysia.
"Setiap projek baharu tersebut telah dianugerahkan kelulusan Tarif Galakan (FiT) selama tempoh 21 tahun dan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2028," kata Samaiden dalam satu kenyataan.
Kumpulan kejuruteraan rumusan tenaga lestari itu terlibat aktif dalam pembangunan dan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan untuk sistem RE serta loji-loji janakuasa di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Ir Chow Pui Hee ketika mengulas kejayaan tender tersebut berkata, kelulusan itu menandakan satu langkah penting ke hadapan kepada syarikat.
Ini tambahnya, termasuk dalam mengembangkan portfolio RE yang melangkaui solar kepada biojisim dan biogas selain kepelbagaian itu mampu mengukuhkan keterlihatan pendapatan jangka panjang kumpulan.
"Kami akan terus menyokong agenda penyahkarbonan Malaysia, dan meletakkan Samaiden sebagai penyedia rumusan tenaga bersih komprehensif serta bangga dengan prestasi teknikal kami," kata beliau.
Dengan penambahan projek biojisim dan biogas itu, Samaiden katanya, terus meluaskan jejaknya dalam sektor RE Malaysia, sejajar sasaran kerajaan mencapai 70% kapasiti menjelang 2050. - DagangNews.com








