Samaiden dikhuatiri terjejas disebabkan kos projek lebih tinggi daripada jangkaan - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samaiden dikhuatiri terjejas disebabkan kos projek lebih tinggi daripada jangkaan - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Julai — Peningkatan kos projek tertentu sehingga menjadi lebih tinggi daripada jangkaan asal dikhuatiri boleh menjejaskan perolehan Samaiden Group Berhad, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kebimbangan berkenaan antara risiko utama yang perlu diberi perhatian serius oleh kumpulan pembekal perkhidmatan rumusan tenaga boleh diperbaharui (RE) itu.


Tambahnya, syarikat tersebut berjaya memperoleh beberapa kontrak baharu menerusi program Tarif Penyuapan (FiT) 2.0 di bawah inisiatif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA).


"Selain itu, kami berpendapat Samaiden juga terdedah kepada risiko pemberhentian insentif solar dan persaingan sengit daripada pelbagai pihak lain," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya.


Bagaimanapun setakat ini, firma berkenaan mengulangi pendirian positif terhadap kumpulan tersebut berikutan kejayaan perolehan tender baru-baru ini yang mengukuhkan kedudukannya dalam bidang RE.


Di samping itu katanya, portfolio Samaiden yang pelbagai - merangkumi solar, biogas dan biojisim - dijangka menekankan peranannya yang meningkat dalam memacu peralihan tenaga bersih Malaysia.


Projek-projek yang diperoleh kumpulan berkenaan, dijangka beroperasi pada 2028 manakala projek biojisim 7MW sebelum ini masih lagi menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.


"Samaiden namun juga mendapat manfaat daripada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan yang berpotensi berkaitan projek FiT 2.0 disenaraikan SEDA," kata RHB Research,.


Berdasarkan kepada perkembangan semasa itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM1.44 sesaham. - DagangNews.com