Salutica fail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes paten dengan Apple Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Salutica fail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes paten dengan Apple Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Feb - Salutica Bhd memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman pelanggaran paten terhadap Apple Malaysia Sdn Bhd.

 

Menurut Salutica, peguam mereka telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 27 Januari 2025 berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 17 Januari 2025.

 

Dalam keputusannya ketika itu, Mahkamah Tinggi mengarahkan anak syarikat sepenuhnya, Salutica Allied Solutions untuk membayar RM1.2 juta kepada Apple Malaysia sebagai tuntutan balas.

 

Akibat keputusan itu, saham Salutica jatuh sebanyak 36.9% pada 17 Januari 2025 kepada 26.5 sen daripada 42 sen.

 

Pada Januari 2022, Salutica memfailkan saman terhadap Apple Malaysia kerana mendakwa Apple melanggar paten Teknologi CrossPair.

 

Salutica, yang mengalami kerugian, dimiliki 50.6% oleh Ocean Enlightenment Sdn Bhd, sebuah syarikat keluarga yang dimiliki oleh Joshua Lim dan bapanya James Lim Chong Shyh.

 

Bagi suku pertama berakhir 30 September 2024 (1QFY2025), Salutica mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM8.83 juta berbanding RM5.49 juta pada 2023, sementara hasil syarikat jatuh hampir separuh kepada RM3.65 juta berbanding RM7.27 juta.

 

Kerugian berkenaan disebabkan kos yang tinggi akibat menunggu kelulusan untuk pengeluaran besar-besaran projek baharu yang masih dalam peringkat pembangunan, serta jumlah pengeluaran produk sedia ada yang rendah.

 

Syarikat tersebut mencatatkan kerugian tahunan selama enam tahun berturut-turut sejak tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019 (FY2019). - DagangNews.com