KUALA LUMPUR 14 Julai — Saham-saham sektor perladangan diramal terus kekal neutral walaupun eksport minyak sawit mentah (MSM) pada Jun 2025 mencatatkan penyusutan 10.5 peratus, menurut penganalisis.
Firma-firma penyelidikan turut merujuk pengumuman statistik diterbitkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), yang menunjukkan inventori pada bulan itu tidak berubah kepada dua juta tan.
Data agensi tersebut juga namun mendedahkan penggunaan domestik melonjak 43.9 peratus bulan ke bulan (m-o-m) manakala pengeluaran MSM merosot di Sabah dan Sarawak, masing-masing 9.8% dan 7.4%.
AmInvestment Bank Research (AmInvest) berkata, kadar pengeluaran pada tempoh separuh pertama 2025 secara am meningkat sedikit hanya satu peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada sembilan juta tan.
"Pakar industri sawit menjangkakan MSM tidak berubah kepada 19.3 juta tan pada 2025 dan pengeluaran tandan buah segar (BTS) memuncak pada Ogos atau September, sebelum penurunan bermusim," katanya.
Sementara itu, RHB Research percaya, aktiviti penyimpanan semula di negara pengimport pulih secara beransur-ansur, walaupun tiada data tahap stok Jun daripada Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Firma penyelidikan itu berkata aktiviti pembelian boleh condong ke arah Indonesia, memandangkan perubahan levi negara tersebut baru-baru ini menghasilkan struktur cukai yang lebih menggalakkan.
“Situasi ini didorong oleh dagangan MSM pada harga diskaun kepada minyak kacang soya sepanjang Jun, manakala India memotong cukai import asasnya untuk minyak makan mentah pada 31 Mei 2025,” katanya.
Ia mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham-saham perladangan, dengan menyatakan asas lebih seimbang menjelang 2026, serta jangkaan pemulihan bekalan minyak makan dan permintaan berterusan.
TA Securities pula menganggarkan harga MSM boleh susut pada 2H25, disebabkan peningkatan bekalan dari Malaysia dan Indonesia, bersama-sama dengan tekanan daripada harga kacang soya yang rendah.
"Tambahan pula, faktor kelembapan dalam permintaan global boleh memburukkan lagi trend ini. Kami menjangkakan harga akan turun daripada paras semasa sehingga akhir tahun ini," kata firma tersebut.
Katanya, data Jun menggambarkan prospek menurun sedikit bagi harga MSM, apabila eksport lemah dan import tinggi mengatasi penurunan sederhana dalam pengeluaran, membawa kepada pengumpulan stok.
“Kami mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap prospek sektor perladangan, dengan unjuran harga MSM pula yang tidak berubah sebanyak RM3,800 setiap tan untuk sepanjang 2025,” kata TA Securities.
Bagi Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, ia menjangka paras stok minyak sawit kekal melebihi paras dua juta tan pada Julai 2025, kerana permintaan yang berpotensi lebih kukuh dari India.
Bagaimanapun firma tersebut memberi amaran, situasi itu boleh diimbangi oleh jangkaan peningkatan bermusim dalam hasil tanaman dan ketiadaan permintaan yang didorong oleh perayaan utama tertentu.
"Kami mengekalkan andaian harga MSM 2025 hingga 2026 iaitu RM4,200 dan RM4,000 serta pendirian 'neutral' ke atas sektor ini berikutan kurang pemangkin jangka pendek," katanya. - DagangNews.com








