Saham Paradigm REIT dibuka mendatar RM1 pada penampilan sulung di Pasaran Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Paradigm REIT dibuka mendatar RM1 pada penampilan sulung di Pasaran Utama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT) dibuka tidak berubah pada RM1 sesaham dalam penampilan sulungnya di Pasaran Utama, Bursa Malaysia, hari ini.

 

Harga saham itu adalah sama dengan tawaran awam permulan (IPO) mereka sebanyak RM1 sesaham.

 

Selepas itu, dia didagangkan dalam julat antara 99.5 sen dan RM1.02. 

 

Pada harga RM1, syarikat disokong oleh WCT Holdings Bhd itu mencatatkan permodalan pasaran sebanyak RM1.6 bilion.

 

Permintaan terhadap IPO Paradigm REIT adalah sederhana sebelum penyenaraian, dengan sebahagian unit tidak dilanggan sepenuhnya oleh pelabur runcit dan telah diperuntukkan semula kepada pelabur institusi.

 

IPO Paradigm REIT tidak melibatkan terbitan unit baharu, bermakna ia tidak menerima sebarang hasil. Keseluruhan RM560 juta yang dikumpul melalui IPO disalurkan kepada WCT, penaja kepada REIT tersebut.

 

Pengerusi Paradigm REIT Management Sdn Bhd merangkap Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, penyenaraian Paradigm REIT menandakan pencapaian yang membanggakan bagi pasukan dan landskap REIT di Malaysia.

 

“Walaupun kami dibuka mendatar iaitu RM1, kami melihatnya sebagai permulaan yang stabil dan memberangsangkan, terutamanya dalam pasaran yang kini sering berdepan ketidaktentuan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, sokongan kukuh daripada pelabur institusi dan runcit mencerminkan keyakinan terhadap portfolio serta strategi jangka panjang REIT tersebut.

 

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada usaha menyampaikan nilai yang konsisten kepada pemegang unit dan melaksanakan strategi kami untuk meningkatkan nilai aset,”katanya.

 

Paradigm REIT memiliki dan mengurus Pusat Beli-Belah Bukit Tinggi, Paradigm Mall Petaling Jaya, dan Paradigm Mall Johor Bahru. Ketiga-tiga aset ini, yang bernilai keseluruhan RM2.4 bilion, kini disewa sepenuhnya atau hampir sepenuhnya.

 

REIT itu dijangka menawarkan hasil pengagihan tahunan melebihi 7% bagi tahun 2025.

 

Selepas penyenaraian, hartawan Tan Sri Desmond Lim Siew Choon akan memegang 60.7% kepentingan dalam Paradigm REIT melalui WCT.

 

Maybank Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja jamin utama tunggal, dan ketua pelaksana buku bagi IPO ini. 

 

CGS International dan AmInvestment Bank pula merupakan penaja jamin bersama dan pelaksana buku, manakala RHB Investment Bank Bhd bertindak sebagai pelaksana buku bersama.- DagangNews.com