Saham NexG menjunam 30%, pelabur seolah protes langkah beli kepentingan Classita | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham NexG menjunam 30%, pelabur seolah protes langkah beli kepentingan Classita

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Dalam apa yang dilihat sebagai tanda protes terhadap langkah NexG Bhd memperoleh pegangan besar dalam Classita Holdings Bhd, para pemegang saham bertindak melepaskan saham pembekal MyKad itu, menyebabkan harga sahamnya menjunam hampir 30% dan kehilangan lebih setengah bilion ringgit daripada modal pasaran pada 11 Ogos 2025.

 

Sebaliknya, harga saham syarikat pembinaan Classita melonjak 12.5% kepada sembilan sen sesaham – paras tertinggi yang kali terakhir dicapai dua tahun lalu.

 

Bersikap berhati-hati terhadap pengambilalihan ekuiti Classita bernilai RM77 juta, BIMB Research menurunkan penarafan NexG kepada “jual”, sambil menegaskan nisbah risiko-pulangan semasa sudah menjadi tidak menarik.

 

“Kami percaya pelabur perlu berwaspada terhadap sifat pengiktirafan pendapatan hartanah yang perlahan, kerumitan integrasi serta bebanan kepelbagaian bukan teras.

 

“Kami mengekalkan harga sasaran pada 45 sen,” kata firma penyelidikan itu dalam nota awal pagi kepada pelanggan semalam.

 

Penilaian itu dibuat sebelum harga saham NexG jatuh ke 37.5 sen pada penutupan pasaran semalam, menjadikannya kaunter kedua paling rugi di Bursa Malaysia.

 

Pada 8 Ogos lalu, NexG – sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Bhd – mengumumkan pengambilalihan pegangan 32.61% dan 414.31 juta waran C dalam Classita bernilai RM76.78 juta.

 

Dengan pengambilalihan ini, NexG muncul sebagai pemegang saham terbesar tunggal Classita sekali gus menandakan kemasukan syarikat itu ke dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah.

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Hanifah Noordin berkata, langkah memasuki sektor hartanah dan pembinaan adalah “strategik dan tepat pada masanya” bagi syarikat.

 

“Kami berhasrat memainkan peranan lebih aktif dan menonjol dalam pembangunan negara dengan memanfaatkan kekuatan kewangan, rangkaian kerajaan serta rekod pencapaian kami dalam projek kritikal negara untuk menyokong agenda perumahan dan infrastruktur negara.

 

“Kami melihat Classita sebagai padanan kukuh untuk aspirasi ini memandangkan kelayakan dan kesediaannya menyertai projek berkaitan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

NexG turut menekankan kerjasama Classita dengan Lion Pacific Sdn Bhd untuk bersama-sama menyertai projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

 

Lion Pacific, sebuah firma kejuruteraan berpengalaman luas dalam sistem rel dan kerja-kerja awam, akan mengetuai keseluruhan pakej sistem, manakala Classita dijangka melaksanakan pakej kerja SY303 melibatkan pembekalan, ujian dan pentauliahan tren elektrik serta sistem sokongan.

 

“Sekiranya projek ini dianugerahkan kepada pihak terlibat, kerjasama strategik ini akan menandakan kemasukan Classita ke dalam penyampaian infrastruktur pengangkutan bernilai tinggi dan mengukuhkan kelayakannya sebagai pesaing berwibawa untuk kontrak kejuruteraan sektor awam jangka panjang, selaras dengan agenda pembangunan Madani.

 

“Secara selari, Classita sedang memajukan rancangan bagi projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia di tanah miliknya di Ulu Klang, yang menyediakan rumah mampu milik dan berkualiti untuk penjawat awam, seiring penekanan Madani terhadap akses saksama ke atas perumahan dan pemerkasaan komuniti bersasar.”

 

BIMB Research bersikap “neutral” terhadap kemasukan NexG ke dalam Classita memandangkan impak pendapatan jangka pendek adalah minimum, manakala risiko pelaksanaan jangka panjang kekal tinggi berikutan rekod prestasi Classita yang tidak menentu. - DagangNews.com