Saham Hartanah Kenyalang dibuka mendatar 16 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Hartanah Kenyalang dibuka mendatar 16 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Syarikat pembinaan yang berpangkalan di Sarawak, Hartanah Kenyalang Bhd dibuka tidak berubah pada 16 sen sesaham dalam penampilan sulungnya di Pasaran ACE, Bursa Malaysia, hari ini.

 

Harga saham itu adalah sama dengan tawaran awam permulan (IPO) mereka sebanyak 16 sen sesaham.

 

Saham kumpulan itu diniagakan dalam julat antara 15.5 sen hingga 16.5 sen. Saham itu diniagakan pada harga 16 sen pada pukul 9.15 pagi, selepas 9.5 juta saham bertukar tangan.

 

Pada harga terakhir, syarikat itu mencatatkan permodalan pasaran sekitar RM99 juta.

 

Namun, saham sektor pembinaan di pasaran yang lebih luas juga memulakan minggu dengan perlahan selepas lonjakan kukuh baru-baru ini. 

 

Indeks Pembinaan Bursa Malaysia, yang menjejaki 50 saham dalam sektor tersebut, telah meningkat lebih 12% sejak awal April.

 

“Kami telah mengharungi pelbagai cabaran, kekal teguh dengan visi dan misi yang jelas untuk berkembang menjadi pemain utama dalam industri dan akhirnya menjadi syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia,” kata Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang, Seah Boon Tiat.

 

IPO syarikat itu telah menjana RM19.34 juta untuk syarikat dan RM12.40 juta lagi untuk pemegang saham iaitu, abangnya yang juga Timbalan Pengarah Seah Boon Kee, Ketua Pegawai Operasi, Tony Cheok; pelabur strategik Peter Chai dan pemegang saham minoriti Yeo Kwang Min.

 

Menjelang penyenaraian, permohonan saham Hartanah Kenyalang oleh pelabur awam individu adalah lima kali ganda melebihi peruntukan.

 

Terbitan awam saham baharu menjana RM19.34 juta, di mana lebih separuh daripadanya akan digunakan sebagai modal kerja projek, terutamanya untuk membayar subkontraktor dan pembekal.

 

Hartanah Kenyalang juga memperuntukkan RM3 juta untuk pembelian aset. Dalam senarai pembeliannya ialah enam jentera pengorek baharu bagi menggantikan beberapa aset lama dan menambah kapasiti, serta perkakasan dan perisian komputer untuk mengembangkan perkhidmatan reka bentuk.

 

Baki dana akan digunakan untuk membayar sebahagian pinjaman bank dan menampung kos penyenaraian.

 

TA Securities merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal, dan penaja jamin tunggal untuk IPO.- DagangNews.com