Saham Dialog diramal naik selepas raih kontrak terminal air Pengerang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Dialog diramal naik selepas raih kontrak terminal air Pengerang

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Jun - Nilai saham Dialog Group Bhd dijangka meningkat selepas syarikat berjaya mendapatkan kontrak jangka panjang bagi Terminal Air Dalam Pengerang (PDT) Fasa 3.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research, potensi jangka pendek termasuk sewaan stor untuk loji aromatik ChemOne dan loji biokilang milik usaha sama Petronas.

 

HLIB mengekalkan unjuran kewangan sedia ada serta memberikan saranan 'beli' kepada saham Dialog Group dengan harga sasaran RM2.59 sesaham.

 

"Kami percaya nilai saham Dialog Group akan meningkat apabila kontrak jangka panjang bagi projek PDT Fasa 3 dimuktamadkan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, saham syarikat kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 16 kali bagi tahun kewangan 2026, iaitu lebih rendah berbanding purata lima tahun sebanyak 23 kali.

 

HLIB juga yakin dengan model perniagaan Dialog Group yang menjana pendapatan berulang dan kedudukan syarikat yang strategik untuk terus berkembang di Pengerang, terutamanya dalam pembangunan terminal simpanan.

 

Dalam masa sama, segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) Dialog Group mencatat sedikit keuntungan pada suku ketiga tahun kewangan 2025, menandakan pemulihan selepas beberapa cabaran sebelum ini.

 

"Syarikat turut memberi jaminan tiada kos tambahan akan dikenakan sebelum penyerahan rasmi loji melamin di Kedah dan loji pemampat gas di Kluang kepada Petronas, yang dijangka berlaku pada separuh kedua tahun 2025," jelasnya.

 

HLIB dalam pada itu berkata, dalam segmen pertengahan, kadar simpanan meningkat sedikit kepada antara RM20.98 hingga RM21.63 setiap meter padu pada suku keempat 2025. 

 

Ini berbanding kadar antara RM19.67 hingga RM21.31 pada tahun lalu.

 

Tambahnya, peningkatan kadar tersebut didorong oleh permintaan lebih tinggi terhadap sewaan stor minyak oleh pedagang, didorong pertambahan bekalan minyak mentah daripada OPEC+ dan penurunan harga minyak berikutan ketegangan perdagangan serta ketidaktentuan pasaran global.

 

Menurut HLIB, kelemahan sementara dalam segmen huluan pada suku keempat 2025 dijangka dapat diseimbangkan oleh prestasi yang lebih baik dalam segmen pertengahan. - DagangNews.com