Sabah ingin manfaatkan potensi tenaga haba laut di Tawau sebagai sumber RE, kata Hajiji | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabah ingin manfaatkan potensi tenaga haba laut di Tawau sebagai sumber RE, kata Hajiji

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Julai — Kerajaan Sabah berhasrat memanfaatkan potensi tenaga haba laut di perairan Tawau sebagai sumber tenaga boleh baharu (RE), kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor

 

Beliau berkata, penggunaan tenaga berkenaan secara lebih meluas juga adalah sebahagian daripada matlamat Ekonomi Biru negeri tersebut sendiri di bawah agenda pelan pembangunan Sabah Maju Jaya.

 

Usaha itu tambahnya, selaras dengan tumpuan kerajaan negeri untuk meneroka, mempromosi dan menyokong Ekonomi Biru, yang mampu memberi manfaat dan kelebihan kepada seluruh rakyat Sabah.

 

“Selain itu, Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan Petronas dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut giat melaksanakan Projek Pemetaan Rumpai Laut di seluruh Sabah,” kata Hajiji.

 

Beliau ketika berucap pada sambutan Hari Biodiversiti Sedunia di Dewan Arena Belia di Semporna, Sabah hari ini, turut memberi jaminan usaha tersebut tidak mengganggu kepelbagaian marin negeri.

 

Pada masa sama, kerajaan negeri akan tetap memastikan aktiviti pelancongan di Semporna dikawal dengan baik dan tidak menjejaskan kehidupan akuatik semula jadi di lokasi tumpuan berkenaan.

 

Malah katanya, kelulusan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini telah meletakkan Sabah sebagai peneraju isu itu di Malaysia.

 

Hajiji menambah, pelaksanaan enakmen tersebut akan turut memastikan penglibatan masyarakat asal Sabah dan hak mereka dilindungi melalui prosedur khas Persetujuan Dimaklumkan Terdahulu (PIC).

 

"Saya ingin menegaskan Kerajaan Sabah komited melindungi dan memelihara sumber asli, dan ekosistem negeri," katanya disampaikan Menteri Muda kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

 

Di samping, beliau memuji tema sambutan itu, 'Harmoni dengan Alam Semula Jadi dan Pembangunan Mampan', yang menekankan peranan penting dimainkan oleh kedua-dua elemen dalam memelihara planet.

 

Tema ini juga kata beliau, adalah tepat pada masanya dan menjadi peringatan kepada umat manusia meningkatkan tahap kesejahteraan manusia dan memastikan kehidupan masa depan yang lebih mampan.

 

Rakyat Sabah kata Hajiji, tidak boleh leka ketika menjalankan aktiviti pembangunan tanpa mengambil kira kelestarian biodiversiti, kesejahteraan haiwan, tumbuhan, dan ekosistem yang membawa manfaat.

 

“Dengan memastikan alam dilindungi dan dihargai, kita tidak sahaja menjaga kepelbagaian biologi tetapi menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial untuk generasi semasa dan akan datang,” katanya.

 

Beliau berkata konsep berkenaan turut sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang telah lama ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Pelan Strategi Biodiversiti Sabah 2024–2034.

 

Sambutan dan tema hari ini juga mencerminkan aspirasi agenda pembangunan Sabah Maju Jaya, yang pada asasnya berpaksikan dalam mempromosi amalan hijau serta menyokong pembangunan mampan.

 

Usaha pemuliharaan bagaimanapun kata Hajiji, memerlukan sokongan padu daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, badan sukarela, masyarakat setempat dan rakyat Sabah.

 

"Kerajaan negeri akan terus melaksanakan pelbagai program pembangunan yang menekankan aspek kelestarian hijau dengan mengutamakan pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab," kata beliau.

 

Tumpuan khusus berkenaan tambahnya, memastikan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan sosial, dan pertumbuhan ekonomi untuk generasi akan datang. - DagangNews.com