S Pay Global catat 138 juta transaksi tanpa tunai bernilai RM5.21 bilion di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

S Pay Global catat 138 juta transaksi tanpa tunai bernilai RM5.21 bilion di Sarawak

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Julai — Platform teknologi kewangan Sarawak, S Pay Global, merekodkan lebih 138 juta transaksi bernilai RM5.21 bilion setakat 15 Jun 2025 sejak dilancarkan negeri itu pada 2017.


Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, perkembangan yang positif itu mencerminkan peralihan negeri semakin pantas ke arah ekonomi digital tanpa tunai.


Kata beliau, aplikasi mudah alih itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay, mendaftarkan 1.59 juta pengguna dan 94,700 peniaga, menandakan pertumbuhan mantap dalam pembayaran digital.


Platform ini katanya, memudahkan pembayaran bil dan pembelian barangan, dengan pilihan tambah nilai melalui perbankan dalam talian, kad kredit atau debit, dan ejen Bank Simpanan Nasional.


“Ia turut menyokong ekosistem tanpa tunai yang komprehensif dengan ciri utama termasuk pembayaran secara kod QR, pemindahan dana, eGifts, ganjaran kesetiaan dan kupon diskaun," kata Julaihi. 


Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap Kementeriannya, Syed Mohamad Fauzi Shahab pada Program Nexus Teknologi Digital 2025 dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sarawak di Kuching.


S Pay Global diuruskan SiliconNet Technologies dan ditauliahkan Bank Negara Malaysia dengan aneka perkhidmatan termasuk insurans, serta pembayaran pinjaman pendidikan dan caj tempat letak kereta.


Mengulas lanjut, Julaihi menekankan ketika Sarawak memperdalamkan jejak digital, struktur tadbir urus data teguh penting menyokong teknologi baharu muncul dan transformasi perkhidmatan awam.


“Kita perlu memastikan ada Rangka Kerja Tadbir Urus dan Pengurusan Data yang komprehensif serta memfokuskan kepada manusia, proses dan teknologi untuk memaksimumkan nilai data besar,” katanya.


Tambah beliau, sejak pertengahan 2024, Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak telah berjaya menerajui usaha pembangunan rangka kerja berkenaan dengan komprehensif untuk memenuhi keperluan Sarawak.


Laporan akhir draf itu katanya, menggariskan cadangan termasuk pembaharuan perundangan, struktur tadbir urus, dan pelan hala tuju berperingkat untuk pembangunan dasar serta pembinaan kapasiti.


“Pelan hala tuju secara berperingkat yang menonjolkan langkah seterusnya dalam pembangunan dasar, pembinaan kapasiti dan pelancaran operasi akan dimulakan tahun ini,” kata Julaihi. - DagangNews.com