Roger Chin dilantik sebagai Pengerusi Invest Sabah, Madius terajui POIC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Roger Chin dilantik sebagai Pengerusi Invest Sabah, Madius terajui POIC

Datuk Roger Chin menerima surat pelantikan sebagai Pengerusi Invest Sabah daripada Datuk Ewon Benedick di Kota Kinabalu. Gambar/Facebook Ewon Benedick
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Dis – Kerajaan Sabah melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Roger Chin dan bekas menteri persekutuan, Datuk Wilfred Madius Tangau untuk menerajui dua agensi penting kerajaan negeri, selaras dengan usaha memperkukuh agenda pelaburan dan perindustrian Sabah.

 

Roger Chin dilantik sebagai Pengerusi Invest Sabah, menggantikan Tan Sri Anifah Aman, manakala ADUN Tamparuli, Madius Tangau, dilantik sebagai Pengerusi Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Sabah bagi menggantikan Datuk Seri Yong Teck Lee.

 

Surat pelantikan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, Datuk Ewon Benedick, dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pejabat di Kota Kinabalu pada Isnin.

 

Turut dilantik ialah bekas Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah, Datuk Jonathan Kandok, sebagai Timbalan Pengerusi POIC Sabah.

 

Dalam ucapannya, Ewon berkata pelantikan tiga tokoh berpengalaman itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan sektor pelaburan, perindustrian dan logistik Sabah terus dipacu secara tersusun, inklusif serta berimpak tinggi.

 

Beliau menegaskan kementeriannya akan terus melaksanakan agenda Sabah First dengan memberi keutamaan kepada pembangunan ekosistem pelaburan dan keusahawanan yang mesra pelabur serta usahawan tempatan.

 

“Pelantikan ini selaras dengan pendekatan Sabah First, di mana kepentingan rakyat dan ekonomi Sabah sentiasa menjadi keutamaan. Saya yakin dengan pengalaman serta kepakaran mereka, POIC Sabah dan Invest Sabah akan terus memainkan peranan strategik dalam menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan daya saing negeri,” katanya.

 

Ketiga-tiga individu yang dilantik turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kepercayaan yang diberikan dan berikrar untuk melaksanakan amanah tersebut dengan penuh komitmen demi pembangunan ekonomi Sabah. - DagangNews.com