KUALA LUMPUR 31 Julai — Kerajaan memberi jaminan, inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tetap diteruskan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambahnya, usaha itu juga dipergiat Payung Rahmah melalui pelbagai program Jualan Rahmah, Menu dan Kafe Rahmah, serta Bakul Rahmah membolehkan akses kepada makanan dengan harga berpatutan.
Pada masa sama katanya, kerajaan turut akan meningkatkan aktiviti pemantauan dan kawalan harga barang makanan penting di pasaran bagi memastikan ketelusan harga di sepanjang rantaian bekalan.
“Sebanyak 17 bentuk bantuan juga diperkenalkan kepada pelajar seawal peringkat prasekolah hingga menengah agar mereka tidak keciciran mendapat akses makanan yang sihat dan berkhasiat," katanya.
Beliau ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 hari ini menambah, usaha itu termasuk Bantuan Makanan Asrama, Rancangan Makanan Tambahan, Bantuan Awal Persekolahan dan Biasiswa Persekolahan.
Dalam pada itu kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, pelbagai bentuk bantuan untuk meringankan sara hidup rakyat berpendapatan rendah tidak terhenti setakat pemberian bantuan tunai dan makanan.
Kerajaan turut berusaha keras mengurangkan bebanan bil elektrik kediaman, antaranya melalui kaedah kadar Time-of-Use (ToU) yang ditawarkan oleh Tenaga Nasional Berhad di Semenanjung Malaysia.
“Selain itu, Pakej Rahmah untuk perkhidmatan internet serta insurans dan takaful yang lebih mampu dibayar juga diteruskan. Kerajaan turut memastikan kos pengangkutan awam berpatutan," katanya.
Anwar memberi contoh penggunaan pas perjalanan bulanan dan pas perjalanan khas kepada pelajar, warga emas dan OKU serta program subsidi tiket penerbangan udara kepada pelajar akan diteruskan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan rancangan lima tahun berkenaan menggunakan strategi serampang dua mata, bagi membantu setiap rakyat untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup semasa.
Tambah beliau, usaha itu bukan sekadar mengekang kenaikan harga barang atau perkhidmatan untuk mengurangkan beban perbelanjaan, malah memastikan pendapatan kehidupan wajar kepada semua.
Akses kepada pendidikan berkualiti, kesihatan yang menyeluruh dan mampu dibayar, kediaman selamat dan selesa, serta bekalan makanan lebih terjamin dan berkhasiat turut menjadi keutamaan kerajaan.
“Kebijakan (dasar) ini membuka ruang serta peluang kemajuan saksama untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang, wilayah atau pendapatan mereka,” kata Anwar. - DagangNews.com








