RMK13: Pembaharuan dasar buruh beri tekanan kepada PMKS, Samenta mahu ada cukup masa peralihan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RMK13: Pembaharuan dasar buruh beri tekanan kepada PMKS, Samenta mahu ada cukup masa peralihan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Ogos — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa usaha pembaharuan dasar buruh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilakukan berperingkat.

 

Presidennya, Datuk William Ng berkata, pihaknya sedar pelbagai langkah reformasi dalam polisi itu memberi tekanan yang besar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan sendiri.

 

Bagaimanapun tambah beliau, apabila dilaksanakan mendadak tanpa ada sebarang tempoh peralihan yang mencukupi, situasi itu berisiko membebankan teruk PMKS, terutama usahawan berskala mikro.

 

"Justeru, Samenta menggesa agar pembaharuan isu buruh dilaksanakan secara berperingkat dengan berasaskan tripartite iaitu melibatkan kerajaan, majikan dan pekerja," katanya dalam kenyataan.

 

Ng merujuk pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang antara lain menyentuh banyak perkara melibatkan tenaga kerja terutama peningkatan kadar gaji minimum.

 

Menteri Kewangan itu turut menekankan peraturan ketat pengambilan pekerja asing, pelaksanaan sistem levi pelbagai peringkat dan keperluan kepada pematuhan baharu seperti portal e-Masco.

 

Meskipun perancangan dasar tersebut adalah baik dari segi hasrat, Samenta pula kata Ng melihat usaha berkenaan tidak harus bermula secara drastik seperti pelaksanaan Gaji Kehidupan Wajar.

 

"Kenaikan gaji perlu dipadankan dengan peningkatan produktiviti, manakala galakan automasi kepada PMKS, serta pembaharuan undang-undang buruh harus memberi ruang kepada majikan," tambah beliau.

 

samenta
WILLIAM NG

 

Peluang tersebut katanya, membolehkan majikan melaras saiz tenaga kerja secara fleksibel kerana jika tidak, PMKS, khususnya dalam sektor yang berintensif buruh, mungkin terus terhimpit lagi.

 

Sekiranya perkara berkenaan tidak diberikan perhatian serius oleh kerajaan, Samenta kata beliau bimbang pelbagai reformasi itu menjejaskan prospek pekerjaan kepada PMKS dan daya saing negara.

 

Secara umum tambah Ng, RMK13 membuka banyak peluang terhadap PMKS yang membentuk lebih 97 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia serta berpotensi membantu membina rangkaian nilai.

 

"PMKS namun memerlukan sokongan kukuh, termasuk akses pembiayaan, latihan dan pasaran, terutama menerusi kerjasama sektor awam-swasta serta amalan perolehan yang lebih inklusif," kata beliau.

 

Penglibatan PMKS sebagai salah satu tonggak utama RMK13 mencerminkan kefahaman mendalam kerajaan terhadap realiti ekosistem perniagaan dan seruan Perdana Menteri selari aspirasi komuniti PMKS.

 

Samenta tambahnya, turut mengalu-alukan tumpuan kepada produk dan perkhidmatan 'Made by Malaysia' serta anjakan ke arah ekonomi berasaskan penciptaan nilai mencerminkan visi pembangunan negara.

 

Pada masa sama kata Ng, mereka sedia bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam memastikan kejayaan RMK13 tetapi apa yang penting ialah pelaksanaan berkesan dan inklusif untuk PMKS berkembang.

 

"Janganlah dasar yang baik menjadi beban. Sebaliknya marilah kita bina ekonomi yang beri ruang kepada PMKS mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk semua rakyat," katanya. - DagangNews.com