RMK13 pacu pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, kekalkan lebihan dagangan - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RMK13 pacu pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, kekalkan lebihan dagangan - Amir Hamzah

AMIR HAMZAH Azizan (kanan) ketika ditemuramah Sherkawi Jirim dalam program Ruang Bicara disiarkan oleh Bernama TV. - Foto BERNAMA
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Ogos — Kerajaan menjangkakan lebihan dagangan Malaysia kekal stabil di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Ia disokong oleh pertumbuhan industri bernilai tinggi dan peralihan ke arah peningkatan ekonomi lebih kompleks walaupun import dijangka kekal tinggi, sejajar dengan keperluan pembangunan negara.

 

Tambahnya, Malaysia telah lama merekodkan lebihan akaun semasa dan imbangan perdagangan positif sentiasa memihak kepada negara ini dengan tumpuan penting ialah membangunkan industri baharu.

 

"Kita perlu melabur dalam sektor bernilai tinggi, boleh meningkatkan keluaran nilai tambah dan mengekalkan lebihan sedia ada," katanya dalam program Ruang Bicara disiarkan oleh stesen Bernama TV.

 

Amir Hamzah menekankan, RMK13 direka bagi meningkatkan daya saing negara melalui transformasi ekonomi yang berstruktur dan beralih ke sektor berimpak tinggi, termasuk kecerdasan buatan (AI).

 

"Jika kita tidak bergerak ke hadapan, orang lain akan pintas, dan di situlah masalahnya. Itulah sebab kita perlu meningkatkan ekonomi untuk menjana pekerjaan berkemahiran tinggi," tegasnya.

 

Mengenai dasar perdagangan, beliau berkata, negara memerlukan pendekatan yang lebih pragmatik dan kesediaan untuk berubah daripada dasar warisan untuk selaras dengan keadaan global semasa.

 

"Kita perlu praktikal. Apa yang berkesan sebelum ini mungkin tidak lagi relevan sekarang. Sebagai contoh, dahulu kita banyak bergantung kepada buruh asing kerana modal intensif buruh," katanya.

 

Bagaimanapun kini, Malaysia boleh bergerak ke hadapan dengan meningkatkan kompleks ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menggalakkan penggunaan teknologi dan pendigitalan.

 

"Ini memanfaatkan tenaga kerja domestik kita lebih baik. Dengan penambahbaikan dalam sistem pendidikan dan latihan, pergantungan kita kepada buruh asing juga dapat dikurangkan," jelasnya.

 

Amir Hamzah menyatakan prospek ekonomi Malaysia kekal positif, walaupun ada ketidaktentuan global, dengan disokong oleh pelaburan institusi domestik yang kukuh dan struktur ekonomi berdaya tahan.

 

"Malah IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Malaysia kepada 4.5 peratus. Itu mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara," katanya.

 

Beliau menambah bahawa pendekatan holistik RMK-13 juga akan diperkukuh dengan pemantauan secara rapi dan mekanisme campur tangan segera untuk memastikan pelaksanaan menjadi lebih berkesan.

 

Selain itu, Amir Hamzah menyeru semua pihak berkepentingan untuk menyokong transformasi yang dibentangkan dalam RMK-13, demi kepentingan kemakmuran negara dan kemajuan secara inklusif.

 

Kata beliau, menurut unjuran di bawah RMK-13, imbangan perdagangan Malaysia dijangka kekal dalam lebihan, dengan mencecah RM116.3 bilion menjelang tahun terakhir rancangan tersebut iaitu 2030.

 

Lebihan akaun semasa dijangka 2.2% daripada pendapatan negara kasar, manakala eksport kasar diramal positf pada kadar tahunan purata 5.8% dalam tempoh lima tahun bermula 2026. - DagangNews.com