KUALA LUMPUR 1 Julai — Malaysia berkemungkinan meningkatkan perbelanjaan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk menambah permintaan domestik, kata BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah itu dijangka sebagai persediaan jika ekonomi menghadapi masalah luar dengan perbelanjaan pembangunan kasar berkemungkinan pada purata RM88 bilion setahun.
Peruntukan dalam tempoh lima tahun itu 10 peratus lebih tinggi daripada peruntukan RMK-12 yang disemak semula, dan penting kerana ekonomi Malaysia mungkin perlahan sepanjang 2026 hingga 2030.
“Memandangkan persekitaran luaran mencabar, kami menjangkakan kerajaan memberi lebih penekanan terhadap pengukuhan dan mengekalkan permintaan dalam negeri,” kata BIMB Securities dalam notanya.
Kerajaan dijangka membentangkan RMK-13 di Parlimen menjelang 31 Julai 2025 untuk pelaksanaan selama lima tahun yang bermula pada 2026 setelah RMK-12 berakhir hujung tahun ini.
Minggu lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengambil alih tugas Menteri Ekonomi, berikutan peletakan jawatan oleh penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Dari segi nominal, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu penanda aras utama bagi rangka kerja dasar fiskal di bawah RMK-13, dijangka berkembang sebanyak 6.4 peratus setiap tahun.
Angka berkenaan diramal sebagai sederhana berbanding pertumbuhan purata 8.2 peratus dicatatkan dalam tempoh 2021 hingga 2024, dan 7.9 peratus pada 2009 hingga 2019.
Bagaimanapun kata BIMB Securities, bagi pelabur, pasaran ekuiti Malaysia boleh mendapat manfaat secara ketara daripada inisiatif strategik yang akan diumumkan kerajaan menerusi RMK-13.
"Dalam beberapa hari selepas pengumuman itu, kami jangka limpahan positif bagi pasaran ekuiti, terutama sektor pembinaan, teknologi dan utiliti, apabila pelabur menerima dasar," katanya.
Pelan berkenaan juga tambah firma tersebut, boleh merangsang permintaan pengguna, meningkatkan kestabilan ringgit, serta melonjakkan minat institusi daripada pelabur tempatan dan asing.
Desakan domestik itu menurut BIMB Securities, mungkin termasuk cadangan untuk menaikkan gaji minimum bulanan kepada RM2,000 menjelang 2030, di samping pelarasan gaji kakitangan awam.
Gaji minimum pekerja di seluruh negara ditetapkan kepada RM1,700 sebulan, di bawah undang-undang yang mewajibkan semakan sekurang-kurangnya setiap dua tahun. - DagangNews.com








