KUALA LUMPUR 1 Ogos — Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menilai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai langkah penting ke arah negara yang berpendapatan tinggi.
Presidennya, Datuk Ng Yih Pyng berkata, kerumitan landskap ekonomi global memerlukan kerajaan melaksanakan dasar dipertimbangkan dengan baik, dan boleh disesuaikan tanpa ada gangguan besar.
Ini kata beliau, termasuk mempelbagaikan struktur ekonomi, produk dan pasaran, serta berupaya mendapatkan banyak pelaburan berkualiti dalam pertumbuhan sektor bernilai tinggi menjelang 2030.
"Kami juga melihat potensi pelaburan dalam pendidikan dan modal insan, memupuk penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang besar dan mampu memacu inovasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Yih Pyng menekankan keperluan untuk penyelarasan kukuh dalam kalangan pelbagai kementerian dan agensi, memandangkan birokrasi lemah sering kali disebut sebagai penghalang utama bagi perniagaan.
Beliau berkata, cadangan penambahbaikan model pelaburan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) bernilai tinggi dengan insentif bersasar adalah satu langkah yang betul.
Selain itu katanya, ACCCIM mencadangkan agar kerajaan melakukan kajian semula dan meluaskan skop insentif R&D untuk membolehkan lebih banyak syarikat dapat terlibat dalam aktiviti tersebut serta C&I.
"Ia dengan menawarkan kredit lebih menarik boleh memikat pelabur untuk menubuhkan hab R&D mereka di Malaysia, serta mengutamakan kerjasama sektor swasta, ahli akademik dan kerajaan," kata Yih Pyng.
Perbelanjaan R&D katanya, digesa agar lebih tinggi untuk meningkatkan keamatan sejajar dengan tahap piawaian global sambil secara aktif mencari perkongsian swasta dan menambah penyertaan perniagaan.
Pada masa sama, beliau menekankan keperluan untuk memudahkan skim insentif cukai R&D dan merombak sistem perolehan termasuk memperkemas proses, memudahkan aplikasi dan menghapuskan isu birokrasi.
Yih Pyng menegaskan, agenda pembaharuan perkhidmatan awam adalah penting untuk meningkatkan kecekapan penyampaian, membina semula kepercayaan serta menumpukan usaha dalam cara lebih telus.
"Penggunaan teknologi inovasi untuk meningkatkan pengalaman perkhidmatan pelanggan, menambah baik perkongsian maklumat dan mengurangkan kos, mampu memacu nilai wang yang lebih baik," katanya lagi.
ACCCIM tambahnya, menantikan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk memudahkan perniagaan dan tidak mengecewakan mereka, termasuk pindaan peraturan yang lapuk sejajar mencerminkan keperluan semasa.
Bagi menjadikan RMK13 sebagai hasil tepat pada masa, berkesan dan memberi impak, Yih Pyng berkata pelaksanaan adalah penting, dengan penglibatan secara luas di seluruh sektor awam dan swasta.
Tadbir urus yang baik dan akauntabiliti tambahnya, adalah satu lagi faktor penting pelaksanaan RMK13 termasuk mengoptimumkan sumber dan mengutamakan urutan inisiatif dengan teliti. - DagangNews.com








