RM15 bilion telah dikeluarkan oleh pencarum dari Akaun 3 KWSP sejak Mei 2024 - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM15 bilion telah dikeluarkan oleh pencarum dari Akaun 3 KWSP sejak Mei 2024 - MOF

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Sebanyak RM14.79 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), atau dikenali sebagai Akaun 3, selepas lebih setahun ia diperkenalkan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

 

Akaun 3 diperkenalkan pada Mei 2024 bagi memberi akses lebih fleksibel kepada simpanan KWSP untuk keperluan kewangan jangka pendek.

 

MOF berkata pengeluaran itu dibuat oleh 4.63 juta ahli KWSP, mewakili 35.14% daripada 13.2 juta ahli di bawah umur 55 tahun.

 

 

 

 

 

 

“Baki keseluruhan dalam Akaun Fleksibel berjumlah RM10.16 bilion,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Datuk Seri Shahidan Kassim (PN–Arau).

 

 

KWSP

 

 

Dana persaraan negara itu memperkenalkan Akaun 3 selepas pelaksanaan penstrukturan semula pada 11 Mei tahun lalu, bertujuan memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli. Ahli di bawah umur 55 tahun dibenarkan membuat pengeluaran daripada akaun ini pada bila-bila masa.

 

Di bawah struktur baharu, caruman diagihkan mengikut nisbah 75:15:10 bagi Akaun 1 (Persaraan), Akaun 2 (Sejahtera) dan Akaun Fleksibel, menggantikan pembahagian terdahulu 70:30 antara Akaun 1 dan Akaun 2.


 

KWSP

 


Dalam jawapan yang sama, MOF menegaskan pendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran daripada Akaun 1, dengan menekankan bahawa simpanan KWSP — terutamanya dalam Akaun 1 — adalah untuk persaraan dan bukan penyelesaian jangka panjang kepada isu seperti peningkatan kos sara hidup atau ketidakstabilan pekerjaan.

 

Bagaimanapun, kerajaan tetap mengambil kira cabaran kewangan yang dihadapi rakyat, dan telah memperkenalkan pelbagai langkah bantuan termasuk bantuan tunai langsung, subsidi bersasar serta insentif khas bagi mengurangkan beban dan menjaga kebajikan rakyat.

 

Dalam jawapan bertulis berasingan kepada Datuk Alias Razak (PN–Kuala Nerus), MOF berkata KWSP bersedia mempertimbangkan penambahbaikan kemudahan i-Lindung bagi membolehkan penggunaan dana Akaun 2 untuk pembelian produk insurans dan takaful pada masa hadapan.

 

Namun, MOF menjelaskan ia hanya satu daripada beberapa pilihan pembiayaan yang dicadangkan pada masa ini, dan penawaran produk insurans dan takaful tersebut adalah secara sukarela, dengan pemegang polisi bebas menggunakan mana-mana sumber kewangan yang ada untuk membayar premium.

 

 

 

 

 

 

Sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sedang dijalankan bagi membangunkan produk asas insurans dan takaful di bawah program RESET, yang bertujuan menangani kenaikan kos penjagaan kesihatan dan insurans swasta.

 

MOF berkata struktur dan reka bentuk produk tersebut masih belum dimuktamadkan, dengan konsep disasarkan siap pada Disember 2025 dan pelaksanaan dirancang pada akhir 2026. - DagangNews.com