RM100 tidak diberi tunai kerana ia program bantuan beli barang keperluan asas – Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RM100 tidak diberi tunai kerana ia program bantuan beli barang keperluan asas – Fahmi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Sept – Kerajaan hari ini mempertahankan keputusannya untuk tidak menyalurkan bayaran khas RM100 secara tunai, sebaliknya memanfaatkan program sedia ada bagi membantu rakyat membeli barang keperluan asas.

 

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata bayaran tersebut diagihkan menerusi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) — satu program yang sebelum ini disasarkan kepada isi rumah berpendapatan rendah.

 

Bagaimanapun, ia telah diperluas sekali sahaja kepada semua individu dewasa berumur 18 tahun ke atas seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu.

 

 

 

 

 

 

“Ada segelintir pihak dan Ahli Parlimen yang bertanya, kenapa tidak beri RM100 secara tunai? Kenapa perlu dimasukkan sebagai kredit dalam MyKad?

 

“Dana RM100 itu dimaksudkan untuk membantu isi rumah berbelanja membeli barang-barang asas. Jadi itulah mekanisma untuk memastikan dana yang disalurkan mencapai maksud dan menepati tujuan program tersebut," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.

 

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menepis dakwaan bahawa pelaksanaan program ini mempunyai unsur perkauman dan menyifatkan tohmahan tersebut sebagai tidak berasas.

 

“Ini tidak benar. Lebih 7,000 premis perniagaan menyertai program ini – merangkumi kedai runcit tempatan, perniagaan bumiputera seperti Mydin, dan pasar raya antarabangsa,” katanya.

 

Program SARA membolehkan penerima menggunakan kredit RM100 melalui MyKad sebagai identiti digital di premis berdaftar untuk membeli barang keperluan harian seperti makanan, minuman dan barangan dapur asas.

 

 

 

 

 

 

Langkah ini selaras dengan pendekatan kerajaan untuk menyasarkan bantuan terus kepada kumpulan sasar, di samping menggalakkan penggunaan teknologi seperti pengesahan digital melalui MyKad.

 

Selepas tiga hari pelaksanaannya, lebih 2.9 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit SARA, dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM192.4 juta di seluruh negara. - DagangNews.com