KUALA LUMPUR 10 Julai — Pendapatan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dikhuatiri boleh terjejas pada tahun depan berikutan risiko daripada ketidaktentuan geopolitik antarabangsa, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, secara umum ia menjangkakan 2026 akan menjadi tahun yang lebih seimbang berbanding 2025 dengan harga minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah tahun ke tahun (YoY).
Bagaimanapun tambahnya, situasi politik global semasa diunjur mengakibatkan lebih banyak berlaku harga turun naik komoditi dengan saham KLK sendiri diramal boleh menyusut sebanyak satu peratus.
"Justeru, kami berpendapat, harga MSM akan jatuh lagi pada tahun depan namun harga isirung sawit pula diyakini boleh meningkat untuk FY25 sehingga FY27," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Sekiranya faktor geopolitik diketepikan, firma itu menjangkakan 2026 menyaksikan saingan kuat MSM iaitu minyak kacang soya (SBO), lebih tinggi harganya disebabkan bekalan kukuh komoditi tersebut.
Keadaan berkenaan tambahnya, membolehkan harga SBO kekal disokong pada paras lebih teguh dengan permintaan tinggi daripada peningkatan campuran bahan api bio di pasaran Amerika Syarikat (AS).
Sebaliknya kata RHB Research, harga MSM meneruskan dagangan pada diskaun kepada SBO dalam jangka sederhana dengan permintaan besar kembali daripada pasaran India, Pakistan dan Bangladesh sendiri.
"Harga MSM pada masa ini masih rendah dengan kemerosotan berpunca daripada kebimbangan tarif AS, konflik di rantau Timur Tengah dan penyusutan harga minyak mentah Brent," kata firma tersebut.
Berdasarkan pelbagai faktor luaran itu, ia menurunkan saranan ke atas saham KLK daripada 'beli' kepada 'neutral' manakala harga sasaran disemak kepada RM20.65 berbanding RM24.45 sebelum ini.
Penilaian berkenaan tambah RHB Research, adalah wajar dengan melihat unjuran 21 kali ganda hasil pada tahun kewangan 2026 iaitu lebih tinggi daripada julat rakan setaranya. - DagangNews.com








