Risiko Keselamatan iPhone: MCMC Gesa Pengguna Kemas Kini iOS Segera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Risiko Keselamatan iPhone: MCMC Gesa Pengguna Kemas Kini iOS Segera

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 20 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa pengguna Apple supaya segera mengemas kini peranti iOS mereka susulan penemuan pelbagai kelemahan keselamatan yang berpotensi membahayakan data peribadi.

 

Apple baru-baru ini mengeluarkan kemas kini keselamatan penting untuk menangani kelemahan termasuk rantaian eksploit yang dikenali sebagai “DarkSword”, yang menjejaskan peranti iOS, khususnya iPhone.

 

Kelemahan ini boleh dieksploitasi secara serentak untuk menjejaskan peranti, membuka laluan akses tanpa kebenaran dan aktiviti berniat jahat lain.

 

Pengguna Disarankan Segera Kemas Kini

MCMC menasihatkan pengguna supaya mengemas kini peranti mereka kepada versi iOS terkini bagi memastikan ia kekal dilindungi.

 

Peranti yang tidak dikemas kini berisiko terdedah kepada akses tanpa kebenaran, pemasangan perisian pengintip atau perisian hasad, kecurian mesej, fail atau data sensitif, serta pemantauan terhadap peranti.

 

Amalan Digital Selamat Perlu Diamalkan

Selain itu, pengguna digalakkan mengaktifkan kemas kini automatik, hanya memasang aplikasi daripada Apple App Store rasmi, mengelakkan melayari laman web mencurigakan, dan memulakan semula peranti selepas kemas kini.

 

""Sentiasa peka terhadap sebarang aktiviti luar biasa bagi memastikan keselamatan digital terjaga," kata MCMC.

 

Orang ramai dinasihatkan bergantung kepada maklumat daripada sumber rasmi sahaja dan mengamalkan tabiat digital selamat setiap masa. - DagangNews.com