Ringgit meningkat 4.31% kepada RM3.89 setakat 1 Mac 2026, kata Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit meningkat 4.31% kepada RM3.89 setakat 1 Mac 2026, kata Amir Hamzah

KUALA LUMPUR 2 Mac - Nilai ringgit meningkat sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 1 Mac 2026, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata, pengukuhan ringgit itu mencerminkan asas domestik yang kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 5.2 peratus, mengatasi unjuran asal kerajaan.

 

“Pertumbuhan ini disokong oleh pengembangan merentasi pelbagai sektor, khususnya perkhidmatan dan pembuatan, dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

 

Dari segi perkembangan global, beliau berkata, penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat serta jangkaan persekitaran kadar faedah lebih rendah dalam kalangan ekonomi utama dunia turut menyokong pengukuhan ringgit.

 

“Keadaan ini turut didorong sentimen pelabur yang positif, persekitaran perdagangan global yang berkembang serta aliran pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan,” katanya.

 

Beliau menjelaskan, komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi telah meyakinkan pelabur dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi.

 

“Pertumbuhan KDNK pada suku keempat 2025 merekodkan 6.3 peratus, tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan melepasi anggaran awal.

 

“Ini menjadikan pertumbuhan keseluruhan KDNK 2025 kepada 5.2 peratus (2024: 5.1 peratus), sekali gus melepasi unjuran rasmi kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus,” katanya.

 

Tambah beliau, dengan kestabilan politik yang terjamin, dasar ekonomi dapat dilaksanakan secara jelas dan mampan. - Bernama